Jumaat, 15 March 2019 | 11:36pm
Ole Gunnar Solskjaer. - Foto AFP

Solskjaer kembali ke Camp Nou bawa misi besar

PARIS: Manchester United akan berdepan Barcelona pada suku akhir Liga Juara-Juara yang akan membawa kembali Ole Gunnar Solskjaer ke Camp Nou, tempat pengendali dari Norway itu membawa United menang kejuaraan pada 1999 dengan menewaskan Bayern Munich.

Dengan Manchester City dan United tidak dibenarkan bermain di laman sendiri pada minggu yang sama, United akan menentang pendahulu La Liga itu di Old Trafford pada 10 April dan pertembungan semula enam hari kemudian. 

Barcelona tidak pernah tewas dalam 30 perlawanan di laman sendiri pada kejohanan berkenaan, menang semua kecuali tiga seri.

Harapan England amat tinggi di Eropah tahun ini selepas semua empat pasukan mewakili mereka mara ke kelompok lapan terakhir.

Kali terakhir England memiliki empat pasukan pada suku akhir ialah pada 2008/09, Barcelona menewaskan pasukan dari Old Trafford itu 2-0 pada final di Rome. 

Kelab itu bertemu lagi di final Wembley pada 2011, dengan Barca menang 3-1. Messi menjaringkan gol dalam kedua-dua final.

“Kami gembira berdepan United,” kata Guillermo Amor, pengarah perhubungan institusi Barcelona.

“Kami perlu optimis dalam sebarang kemungkinan. Mereka pasukan yang bagus, pasukan hebat dan penting, tapi kami berada pada tahap terbaik.” - AFP

Berita Harian X