Jumaat, 15 March 2019 | 6:46pm
PEMAIN tengah Pahang, Zuhair Aizat. - NSTP/Farizul Hafiz Awang

Zuhair Aizat intai peluang ke skuad utama

 

KUANTAN: Pemain tengah Pahang, Zuhair Aizat Mohd Nazri yang menjaringkan gol kemenangan ketika skuad itu menewaskan Kedah 1-0 pada 9 Mac lalu, mahu membuktikan dirinya turut memberi sumbangan penting dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini. 

 

Pemain kelahiran Kuala Lipis, Pahang itu berkata, musim kedua bersama skuad Tok Gajah adalah peluang terbaik untuknya memikat jurulatih, Dollah Salleh sebaik saingan Liga Super bersambung nanti.

"Sebaik diberi peluang beraksi pada perlawanan dengan Kedah, saya sedar perlu bekerja keras dan berterima kasih kepada jurulatih kerana percaya dengan kebolehan yang dimiliki.  

"Saya percaya jaringan tunggal ketika membantu Pahang menewaskan Kedah menambah lagi keyakinan untuk berada dalam kesebelasan utama selepas ini.  

"Biarpun perlu bersaing dengan pemain lebih berpengalaman, saya percaya berkat kesabaran dan latihan intensif, ia akan membantu menyakinkan jurulatih," katanya.  

Musim lalu, Zuhair Aizat yang kali pertama menyarung jersi skuad Tok Gajah menjaringkan satu gol dalam kempen Piala Malaysia.  

Namun, pemain berumur 23 tahun itu perlu bersaing dengan pemain berpengalaman antaranya Nor Azam Azih dan Wan Zaharulnizam Wan Zakaria di posisi tengah.  

Pada masa sama, tiga posisi tengah sering menjadi pilihan Dollah Salleh musim ini ialah Mohamadou Sumareh, Safuwan Baharudin dan Saddil Ramdani.  

Justeru, Zuhair Aizat tidak mahu alasan sebagai pemain kurang pengalaman menghalang misinya merebut tempat dalam kesebelasan utama.  

"Tiada yang mustahil untuk mencapai misi berkenaan kerana fokus utama mempertingkatkan prestasi dan corak permainan," katanya.

Berita Harian X