Khamis, 14 March 2019 | 7:27am
Pemain Liverpool, Sadio Mane merembat ke arah gawang Bayern Munich pada aksi saingan Liga Juara-Juara, awal pagi tadi. - Foto Reuters

Liverpool buat Bayern 'merah padam'

MUNICH: Sadio Mane menjaringkan dua gol bagi membantu Liverpool mara ke suku akhir Liga Juara-Juara selepas mencatat kemenangan 3-1 ke atas Bayern Munich, awal pagi tadi.

Terlepas ketika aksi pertama di Anfield yang berakhir tanpa jaringan tiga minggu lalu susulan penggantungan, Mane meledak jaringan pertama di Allianz Arena selepas menerima hantaran jauh Virgil van Dijk.

"Gol pertamanya luar biasa, begitu tenang sebelum dia melakukan penyudah," kata pemain tengah Liverpool, James Milner. "Dia berada tepat pada masanya dan harap ia dapat diteruskan sehingga akhir musim nanti."

Pertahanan tengah dari Belanda, Van Dijk kemudiannya menanduk masuk jaringan untuk memastikan Liverpool mendahului saingan dengan 2-1 pada minit ke-69 selepas Joel Matip menjaringkan gol ke gawang sendiri.

Enam minit terakhir permainan menyaksikan Mane menjamin slot ke suku akhir buat Liverpool.

Kemenangan Liverpool dengan agregat 3-1 itu bermakna mereka akan menyertai Tottenham Hotspur, Manchester City dan Manchester United dalam aksi suku akhir, melengkapkan barisan empat pasukan Inggeris yang mara ke pusingan lapan terbaik buat kali pertama sejak musim 2008/09.


Pemain Liverpool, Sadio Mane menanduk bola membolosi gawang Bayern Munich untuk gol ketiga pasukannya pada saingan Liga Juara-Juara, awal pagi tadi. - Foto Reuters

"Ia satu perkara yang bagus untuk bola sepak Inggeris dan itu yang kamu mahukan," kata Milner. "Kami mempunyai perasaan yang baik sejak tahun lalu, jadi kami berharap dapat membawa momentum itu dan melangkah sejauh mana termampu."

Daripada sudut berbeza, ia adalah satu gambaran buruk di Jerman apabila penyingkiran Bayern menyaksikan tiada lagi kelab Bundesliga di suku akhir saingan buat kali pertama sejak 2005/06.

Dortmund dan Shalke turut tersingkir pada pusingan 16 terbaik, masing-masing di tangan Tottenham dan Manchester City dan ini kali pertama Bayern gagal melangkah ke suku akhir saingan sejak kali terakhir pada 2011.

"Kedua-dua pasukan sangat berhati-hati dalam satu tempoh yang lama, tetapi gol kedua membuang kepercayaan yang ada dalam diri kami," kata pertahanan Bayern, Mats Hummels.

"Jurgen Klopp sangat bagus dalam mengimbangi kekuatan lawan dan dia sekali lagi dapat melakukannya. Kami tidak bermain dengan begitu baik dalam usaha mencipta peluang pada tahap ini." - AFP

1974 dibaca
Berita Harian X