Rabu, 13 March 2019 | 2:01pm
Pahang mengekalkan rekod tanpa kalah selepas enam perlawanan dengan hanya dibolosi tiga gol setakat ini. - NSTP/Farizul Hafiz Awang

Penyokong yakin Pahang mampu pintas JDT

KUANTAN: Kelab penyokong bola sepak Pahang mahu kualiti dan corak permainan skuad Tok Gajah dikekalkan sebaik saingan Liga Super bersambung pada 30 Mac ini.

Wakil kelab berkenaan, Mohd Jusri Abd Kadir berkata, kedudukan di tangga kedua dengan empat kemenangan dan dua seri membuktikan skuad kendalian Dollah Salleh berada dalam prestasi terbaik.

"Lebih membanggakan, Pahang mengekalkan rekod tanpa kalah selepas enam perlawanan dengan hanya dibolosi tiga gol setakat ini.

"Dengan kedudukan ini, kami berbangga dengan pencapaian terutama komitmen semua pemain termasuk lima import yang dilihat lebih berkualiti berbanding musim lalu.

"Oleh itu, kami mengharapkan prestasi lebih baik dapat dipersembahkan untuk meletakkan skuad Tok Gajah di persada liga kerana jurang dua mata dengan pendahulu, Johor darul Ta'zim (JDT)," katanya.

Mohd Jusri yang juga Pengerusi Kelab Bolasepak Laksamana Tok Gajah berkata, sumbangan lima import juga memainkan peranan dalam meletakkan skuad Tok Gajah di kedudukan terbaik liga.

Katanya, ketajaman Dickson Nwakaeme yang sudah menjaringkan empat gol diharap berterusan bersama Jose Eduardo yang turut menjaringkan satu gol setakat ini.

"Oleh itu, tempoh rehat panjang ini diharap membantu meningkatkan kualiti dan komitmen pemain untuk lebih cemerlang," katanya.

Musim ini, Pahang mempertaruhkan Nwakaeme dari Nigeria, Eduardo (Brazil), Herold Goulon (Perancis), Saddil Ramdani (Indonesia) dan Safuwan Baharudin (Singapura).

Status pemain Gambia, Mohamadou Sumareh yang didaftarkan sebagai pemain tempatan dan pemain naturalisasi pertama negara menambah lagi bisa skuad Tok Gajah musim ini.

Berita Harian X