Rabu, 13 March 2019 | 12:07pm
CRISTIANO Ronaldo. - Foto EPA

Ronaldo undang masalah

TURIN: Cristiano Ronaldo yang membantu Juventus mara ke suku akhir Liga Juara-Juara, awal pagi tadi mengundang masalah apabila meniru cara sambutan kurang sopan pengurus Atletico Madrid, Diego Simeone di hadapan peminat kelab Sepanyol itu.

Juventus mara ke kelompok lapan terbaik selepas menewaskan Atletico 3-0 pada aksi kedua di gelanggang sendiri dengan ketiga-tiga gol dijaringkan penyerang bintangnya, Ronaldo.

Keputusan itu sekali gus mengatasi defisit kekalahan 2-0 di Sepanyol, bulan lalu tetapi Ronaldo, selepas melengkapkan hatrik menerusi penalti empat minit sebelum permainan tamat mencipta kontroversi.

Selepas menyempurnakan penalti berkenaan, pemain berusia 34 tahun itu bergerak ke arah peminat Atletico dan meniru gaya sambutan Simeone dengan menunjukkan alas sulit serta menggoyangkan pangkal pahanya.

“Dia akan melihat bagaimana saya melakukannya di Wanda Metropolitano dan seperti saya, cuba menunjukkan perwatakannya,” kata Simeone, yang didenda 20,000 euro (RM92,299) oleh Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) susulan tindakannya.

“Cristiano Ronaldo adalah yang terbaik di dunia, dia boleh menonjolkan prestasinya pada malam yang penting.”

Ronaldo yang juga bekas pemain Real Madrid kini sudah mengumpul 25 gol menentang Atletico dalam 33 penampilan termasuk empat hatrik.

Ironinya, dua daripada lima gelaran yang pernah dimenangi pada 2014 dan 2016 juga dengan menewaskan Atletico di pentas final. - REUTERS

Berita Harian X