Rabu, 13 March 2019 | 7:51am
LEROY Sane meraikan jaringan gol bersama rakan sepasukan. - Foto Reuters
PHIL Foden meraikan jaringan gol bersama rakan sepasukan ketika Manchester City menewaskan Schalke 04, awal pagi tadi. - Foto EPA

Schalke jadi 'lauk' di Etihad

MANCHESTER: Manchester City melangkah bergaya ke peringkat suku akhir Liga Juara-Juara dengan dua jaringan Sergio Aguero memberikan juara Inggeris itu kemenangan besar 7-0 ke atas wakil Jerman, Schalke 04, awal pagi tadi.

City yang memerlukan dua gol lewat untuk menang 3-2 pada aksi pertama peringkat 16 terbaik di gelanggang lawan sebelum ini memanfaatkan sepenuhnya aksi di Etihad untuk mara dengan keputusan agregat 10-2.

Penyerang Argentina, Aguero membuka tirai jaringan menerusi penalti pada minit ke-35 dan menggandakan kelebihan tiga minit kemudian sebelum bekas pemain Schalke, Leroy Sane yang cemerlang melakukan tiga umpanan meledak gol ketiga.

Raheem Sterling, Bernardo Silva, Phil Foden dan Gabriel Jesus turut mencetak nama sebagai penjaring gol bagi melengkapkan kemenangan terbesar City dalam kancah Liga Juara-Juara.

SERGIO Aguero. - Foto Reuters

Skuad kendalian Pep Guardiola itu, yang menjulang Piala Liga bulan lalu kekal di landasan untuk menjulang empat kejuaraan musim ini selepas turut memimpin carta Liga Perdana Inggeris selain masih bersaing dalam kempen Piala FA.

Kemenangan besar itu menyamai rekod kemenangan terbesar dalam saingan Liga Juara-Juara di peringkat kalah mati yang memberikan Schalke memori hitam yang sukar dilupakan.

Begitupun, ia mungkin memberikan petanda baik buat City yang sebelum ini turut menewaskan Schalke dalam laluan mereka memenangi satu-satunya trofi di peringkat Eropah iaitu Piala Juara-Juara pada 1970.

RAHEEM Sterling. - Foto Reuters

Dua kali menjulang trofi elit itu ketika mengendalikan Barcelona, Guardiola melabel City sebagai pasukan ‘remaja’ dalam saingan berkenaan berbanding pasukan kuasa besar Eropah lain.

Kelab itu tidak pernah menjulang trofi Liga Juara-Juara dengan persembahan terbaik mereka adalah mara ke peringkat separuh akhir pada 2016 di bawah kendalian Manuel Pellegrini.

Tetapi, kekalahan Real Madrid dan Paris Saint Germain menjadikan City salah satu calon juara musim ini dan ia dibuktikan barisan pemainnya yang mencabar kritikan pengendali mereka itu dengan kemenangan besar. - AFP

Berita Harian X