Selasa, 12 March 2019 | 8:58pm
TIMBALAN Presiden FAM Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi. - Foto Hafiz Sohaimi.

Penyokong tetap datang: Yusoff

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak merasakan harga tiket Piala Airmarine yang dikatakan mahal akan menjejaskan jumlah kehadiran penyokong ke stadium bagi memberi sokongan kepada skuad Harimau Malaya.

Pada penganjuran sulung yang membabitkan empat negara, Malaysia, Oman, Afghanistan dan Singapura kali ini, pihak penganjur menetapkan harga RM45 untuk tempat duduk grandstand dan RM35 untuk tempat duduk terbuka.

Timbalan Presiden FAM Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi berkata tiket berkenaan tidak terhad satu perlawanan sebaliknya ia berkonsepkan tiket untuk menyaksikan dua perlawanan.

“Harga itu untuk dua perlawanan – kedua-dua aksi yang dilangsungkan pada hari sama (petang dan malam). Lagi pun ia dianjurkan pihak swasta dan bukan dibawah seliaan FAM,” kata Yusoff ketika ditemui pada sesi latihan pertama Harimau Malaya di Bukit Jalil, semalam.

“Saya percaya kedua-dua pihak sudah capai kata sepakat membabitkan harga tiket. Untuk bercakap tentang harga, ia agak susah kerana ada orang katakan ia masih murah dan ada yang cakap harga itu mahal.

“Pada saya, mungkin faktor pasukan yang ambil bahagian juga menyumbang kepada harga itu memandangkan ranking mereka lebih atas daripada kita. Tetapi saya rasa penyokong tetap datang dan harga itu masih mampu dibayar oleh mereka untuk berikan sokongan kepada skuad kebangsaan.”

Berita Harian X