Selasa, 12 March 2019 | 10:27am
Jurulatih Atletico Madrid, Diego Simeone pada sidang akhbar menjelang Liga Juara-Juara di Turin, Itali. - Foto EPA

Juventus bukan sekadar Ronaldo - Simeone

TURIN: Jurulatih Atletico Madrid, Diego Simeone memberi amaran bahawa Juventus bukanlah sekadar mengenai penyerang Cristiano Ronaldo apabila pasukan Sepanyol itu ‘cuba menyambar peluang’ di Turin dan meneruskan cabaran mereka bagi menjulang gelaran Liga Juara-Juara.

Pasukan Simeone mendahului 2-0 menjelang perlawanan timbal balik 16 terakhir dengan Juve di Stadium Allianz pada awal pagi esok, dan jelas sekali adalah pasukan pilihan untuk mara ke suku akhir.

“Anda tak boleh berkata tentang Ronaldo, Juventus adalah pasukan hebat dengan pemain terkemuka yang akan digunakan bagi memberi tentangan dalam pertarungan penting dan mereka sangat kuat di bahagian pertahanan,” kata Simeone yang mengakui mereka bukanlah pasukan pilihan biarpun mendahului lawan menerusi agregat.

“Ini adalah dua perlawanan berbeza, perlawanan pertama dan kedua. Kami perlu mencari semua peluang yang ada dan melakukan yang terbaik, kami mempunyai ruang yang lebih sedikit berbanding perlawanan pertama.

“Ini adalah dua pasukan yang kuat, satu daripadanya akan melepasinya dan satu lagi tidak. Ia sukar untuk bercakap tentang siapa pasukan pilihan.”

Atletico bagaimanapun bimbang dengan senarai kecederaan tetapi Simeone berkata pertahanan tengah, Diego Godin sudah boleh beraksi.

“Godin sudah pulih, beliau akan berlatih hari ini dan saya jangka beliau akan bermain esok. Saya akan gunakan apa yang saya ada,” katanya.

Juara bertahan Eropah, Real Madrid sudah tersingkir dalam saingan dengan Zinedine Zidane kembali sebagai jurulatih gergasi Sepanyol itu.

Namun Simeone enggan mengulas terhadap kepulangan Zidane ke Santiago Bernabeu hanya sembilan bulan dia selepas melepaskan jawatan.

“Dengan segala hormatnya saya rasa tak patut bercakap tentang Zidane ketika perlawanan antara Atletico dan Juventus akan berlangsung,” kata bekas pemain tengah Argentina itu. – AFP

 

Berita Harian X