Ahad, 10 March 2019 | 10:24pm
PEMAIN Liverpool, Roberto Firmino menjaringkan gol dalam perlawanan menentang Burnley pada aksi Liga Perdana Inggeris di Anfield, sebentar tadi. - Foto Reuters

Firmino, Mane selamat impian Liverpool

LIVERPOOL: Dua gol setiap seorang daripada Roberto Firmino dan Sadio Mane membantu Liverpool merapatkan jurang dengan pendahulu Liga Perdana Inggeris Manchester City selepas kemenangan 4-2 ke atas Burnley di Anfield sebentar tadi.

Skuad kendalian Juergen Klopp kini mengumpul 73 mata, satu di belakang City, yang menewaskan Watford 3-1 semalam. Kedua-dua pasukan berbaki lapan perlawanan.

Pada perlawanan sebentar tadi, pelawat mengejutkan tuan rumah seawal minit keenam, dengan Ashley Westwood meledak jaringan menerusi sepakan sudut walaupun kelihatan penjaga gol Liverpool Alisson Becker seperti dihalang pemain Burnley James Tarkowski.


PEMAIN Liverpool, Roberto Firmino meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan dalam perlawanan menentang Burnley pada aksi Liga Perdana Inggeris di Anfield, sebentar tadi. - Foto EPA

Liverpool menyamakan kedudukan selepas Tarkowski dan penjaga golnya Tom Heaton gagal mengeluarkan hantaran rendah Mohamed Salah dan Firmino mudah menolak masuk bola ke gawang pelawat.

Mane kemudian meletakkan Liverpool di depan menerusi sepakan lencong selepas bola yang cuba dikeluarkan Jeff Hendrick dihalang oleh Adam Lallana.

Burnley bermula baik di babak kedua tetapi  Heaton sekali lagi gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya, sebaliknya bola singgah ke kaki Salah yang meluru ke arah gawang Burnley dan terjahan Charlie Taylor menyaksikan bola sampai kepada Firmino yang menyempurnakan gol ketiga Liverpool.

Pemain gantian Burnley Johann Berg Gudmundsson merapatkan jurang dalam masa kecederaan tetapi Mane menambah jaringan tuan rumah sejurus sebelum tamat permainan. – REUTERS


PEMAIN Liverpool, Sadio Mane diasak pemain Burnley, Jack Cork pada aksi Liga Perdana Inggeris di Anfield, sebentar tadi. - Foto AFP

1247 dibaca
Berita Harian X