Ahad, 10 March 2019 | 12:36pm
AKSI penyerang JDT, Diogo Luis Santo (kanan) diasak pemain PKNP FC pada saingan Liga Super 2019 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, malam tadi. - NSTP/Mohd Azren Jamaludin

JDT ketepikan keletihan

JOHOR BAHRU: Walaupun letih selepas mengharungi Liga Juara-Juara Asia (ACL) menentang Kashima Antlers di Jepun, Johor Darul Ta'zim (JDT) tetap fokus untuk menguasai takhta liga selepas membenam PKNP FC 3-0 pada aksi Liga Super, malam tadi.

Kemenangan skuad Harimau Selatan itu melegakan pengurus pasukan, Luciano Figueroa yang berpendapat komitmen tinggi setiap pemain membolehkan mereka menang, walaupun selepas menempuh perjalanan jauh beberapa hari lalu.

"Itulah karektor yang kami mahu daripada setiap pemain kerana mereka jelas mengetepikan faktor keletihan sebaliknya beraksi dengan penuh disiplin untuk memastikan kemenangan di laman sendiri.

"Saya akui pemain berdepan kesukaran apabila beraksi pada saingan ACL dan kemudian pulang ke Johor Bahru untuk menentang PKNP FC. Dalam tempoh yang singkat pemain memberi kerjasama 100 peratus untuk beraksi pada saingan liga.

"Tiga mata diraih malam ini (malam tadi) amat penting kerana kami kembali di tangga teratas liga dan saya berterima kasih kepada pemain yang merealisasikan kemenangan itu," katanya.


AKHYAR Abdul Rashid (kiri) dikekang PKNP FC, Filemon Anyie Standly pada aksi Liga Super 2019 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, malam tadi. - NSTP/Mohd Azren Jamaludin

Mengulas penampilan pertama Akhyar Rashid pada perlawanan itu, Figueroa yang sinonim dengan panggilan Lucho dalam kalangan pemain Harimau Selatan, tampak berpuas hati apabila pemain muda itu kerap memberi tekanan terhadap benteng skuad kendalian Abu Bakar Fadzim.

Katanya, bukan saja Akhyar menyerlah, malah kelibat Nazmi Faiz Mansor bergandingan bersama Leandro Velazquez sering menjana gerakan berbahaya dengan umpanan bola memberi ruang kepada Gonzalo Cabrera dan Diogo Luis Santo mengasak benteng PKNP FC.

"Akhyar harus lebih agresif untuk menyesuaikan diri dengan corak permainan JDT, ini penampilan pertama dia bersama kesebelasan utama dan Nazmi pula memainkan peranan penting di posisi tengah.

"Apa yang penting setiap pemain bergerak dengan umpanan bola tepat malah kurang melakukan kesilapan dan saya berharap rentak itu berterusan kerana selepas ini kami akan menyambung aksi ACL menentang kelab dari Korea Selatan," katanya.

508 dibaca
Berita Harian X