Ahad, 10 March 2019 | 12:33pm
PENGURUS Pahang, Datuk Suffian Awang. - Foto Farizul Hafiz Awang

Tok Gajah dituntut kekal konsisten 

 

KUANTAN: Pengurus Pahang, Datuk Mohammed Suffian Awang mahu aksi konsisten dikekalkan skuad itu sebaik saingan Liga Super bersambung 31 Mac depan.  

Justeru, beliau berkata, tempoh rehat kira-kira tiga minggu diharap tidak menjejaskan rentak dalam untuk memastikan skuad Tok Gajah kekal berada di kedudukan terbaik liga.  

"Selepas mengharungi enam perlawanan dan kini menduduki tangga kedua liga, saya berpuas hati dengan komitmen dipersembahkan semua pemain.  

"Apa yang perlu dilakukan pemain ialah mengekalkan prestasi dan lebih agresif bagi mengelak daripada keciciran mata.  

"Kami tidak boleh berada terlalu jauh dengan pendahulu liga jika mahu memberi tekanan kepada lawan dan setakat ini keputusan diraih amat positif," katanya.  

Sebagai tanda penghargaan kepada pemain, Mohammed Suffian berkata, skuad itu diberi cuti selama seminggu dan akan kembali menjalani latihan pada 15 Mac ini.  

Sebaik skuad itu menjalani latihan, katanya, enam pemain Pahang tidak turut serta kerana mewakili negara bagi mengharungi saingan Piala Airmarine 2019 dan pusingan kelayakan Kejuaraan Bawah B-23, Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2020.  

"Mereka adalah kapten pasukan, Matthew Davies, Mohamadou Sumareh dan Nor Azam Azih bersama skuad Tan Cheng Hoe manakala  R Dinesh, Faisal Abdul Halim dan R Kogileswaran dengan Datuk Ong Kim Swee," katanya.  

Selepas enam perlawanan, skuad kendalian Dollah Salleh berada di tangga kedua liga dengan 14 mata di belakang Johor Darul Ta'zim (JDT) yang berkelebihan dua mata.  

Lebih membanggakan, skuad Tok Gajah mengekalkan rekod tanpa kalah selepas mencatat empat kemenangan dan dua seri.

319 dibaca
Berita Harian X