Ahad, 10 March 2019 | 8:33am
Tandukan pertahanan Barcelona, Gerard Pique (tiga dari kiri) membolosi gawang Rayo Vallecano pada aksi La Liga, awal pagi tadi. - Foto AFP

Messi, Suarez ketuai kemenangan Barca

MADRID: Lionel Messi dan Luis Suarez direhatkan seketika tetapi kedua-duanya masih menjaringkan gol ketika Barcelona bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Rayo Vallecano awal pagi tadi, menjelang pertembungan pusingan kedua Liga Juara-Juara menentang Lyon. 

Jaringan Raul de Tomas memberikan pasukan bergelut Rayo, kejutan apabila mendahului di Camp Nou namun Messi menyempurnakan penalti dan Suarez menamatkannya dengan gol menarik seterusnya mencipta kemenangan 3-1, selepas Gerard Pique menanduk gol penyamaan.

 

Ketika Barca melakukan sepak mula, Atletico Madrid baharu saja mencipta kemenangan 1-0 mengatasi Leganes, walaupun Diego Simeone lebih berhati-hati dengan merehatkan Antoine Griezmann, Alvaro Morata dan Saul Niguez bagi saingan di Juventus awal pagi Rabu ini.


Penyerang Rayo Vallencano, Raul de Tomas (tengah) diasak pertahanan Barcelona, Nelson Semedo (kiri) dan Gerard Pique pada La Liga, awal pagi tadi. - Foto AFP

“Ia adalah normal apabila ada perlawanan penting pada Selasa,” kata Simeone, yang meletakkan Griezmann di bangku simpanan pada babak pertama. “Dia tidak cedera, dia sudah memberikan segalanya.”

Masih ada risiko perlu dihadapi dua pasukan pendahulu La Liga itu dengan Barcelona terikat tanpa jaringan pada saingan pertama berdepan Lyon di Perancis manakala Atletico mendahului Juve 2-0 tetapi menjangkakan saingan sengit di Turin.

 

“Kami ada perlawanan penting pada Rabu (awal pagi Khamis),” kata Ernesto Valverde. “Kami tahu pentingnya perkara ini – kerana lawan kami, kejohanan ini dan kerana kami sudah lihat apa terjadi kepada pasukan besar yang lain.”

Kedua-dua pasukan berjaya mengelak keciciran mata untuk meninggalkan Real Madrid lebih jauh dalam La Liga sebelum pasukan itu bertemu Real Valladolid. 

Barca kekal tujuh mata di depan Atletico dan 15 mata di Real. - AFP

Berita Harian X