Sabtu, 9 March 2019 | 11:29pm
PEMAIN TFC, Nasrullah Hanif Johan (kiri) meledak jaringan pertama menerusi tandukan dalam perlawanan menentang Melaka United pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, sebentar tadi. - Foto Imran Makhzan

Terengganu manfaat laman sendiri

KUALA TERENGGANU: Terengganu FC (TFC) menamatkan kemarau kemenangan di laman sendiri selepas menundukkan Melaka United (MU) 3-0 pada aksi Liga Super yang berlangsung di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah sebentar tadi.

Skuad Penyu yang mendominasi permainan hampir di depan pada minit ke-11 melalui kuisan pemenang Kasut Emas 2010, Ashari Samsudin tapi sudah dapat dibaca penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat.

Percubaan itu bagaikan memberi isyarat awal kebangkitan skuad bimbingan Irfan Bakti Abu Salim yang setakat ini belum merakam sebarang kemenangan di laman sendiri selepas tiga perlawanan.

Hasil sepakan sudut Lee Tuck, pemain pertahan TFC, Nasrullah Hanif Johan tidak melepaskan peluang untuk meledak jaringan pertama menerusi tandukan menarik pada minit ke-23 yang gagal diselamatkan Khairul Fahmi.


PEMAIN TFC, Sanjar Shaakmedov meriakan jaringannya bersama rakan sepasukan dalam perlawanan menentang Melaka United pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, sebentar tadi. - Foto Imran Makhzan

Dua minit berselang pemain tinggi lampai MU, Anselmo Arruda terlepas peluang untuk menyamakan kedudukan apabila peluang yang dimilikinya berjaya ditampan penjaga gol, Mohd Suffian Rahman yang memakai lilitan kapten menggantikan Kipre Tchetche.

Pemain TFC yang dilihat kian bernafsu untuk mencipta kemenangan pertama di gelanggang sendiri berjaya menjarakkan kedudukan menerusi rembatan menarik pemain tengah kelahiran Uzbekistan, Sanjar Shaakmedov pada minit ke-41 untuk mendahului 2-0.

Lebih menarik gol kedua skuad Penyu yang dijaringkan pemain yang digelar 'Salah Ganu' itu adalah gol pertama peribadinya musim ini selepas bijak menggelecek pemain pertahanan MU, Jang Sukwon dalam kotak penalti.

Bersambung babak kedua ketika lawan menggandakan asakan, pemain gantian Ahmad Syamim Yahya yang masuk menggantikan Malik Mat Ariff bijak melepasi perangkap ofsaid sebelum melambung bola dari luar kotak penalti untuk meletakkan TFC tiga gol di depan.


PEMAIN TFC, Malik Mat Ariff mengasak pemain Melaka United, Mohd Raimi Md Nor pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, sebentar tadi. - Foto Imran Makhzan

868 dibaca
Berita Harian X