Sabtu, 9 March 2019 | 11:19pm
PEMAIN JDT, Akhyar Rashid diasak pemain PKNP FC, Filemon Anyie Standly pada aksi Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, sebentar tadi. - Foto Mohd Azren Jamaludin

JDT kembali terajui liga

JOHOR BAHRU: Johor Darul Ta'zim (JDT) kembali merampas kedudukan teratas daripada Pahang selepas mudah menjinakkan PKNP FC 3-0 pada aksi Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, sebentar tadi.

Selepas mengharungi enam perlawanan liga, skuad bimbingan Abu Bakar Fadzim terus menderita tanpa sebarang kemenangan dan situasi itu mengundang persoalan kemampuan pasukan kelab dari Perak itu mengharungi kempen liga musim ini.

Dalam perlawanan itu, gandingan Luciano Figueroa dan Benjamin Mora yang membimbing JDT melakukan rombakan dengan menampilkan Akhyar Rashid dalam kesebelasan utama buat pertama kali sambil merehatkan Safawi Rasid selain turut menyenaraikan S Kunanlan dan Nazmi Faiz Mansor.

Percubaaan awal JDT hadir pada minit ke-15 selepas bola sepakan percuma Nazmi Faiz ditanduk kapten Hariss Harun namun bola tersasar di sebelah kanan gawang gol PKNP FC walaupun cuba dihalang penjaga gol, Shafiq Afifi Suhaimi.


PEMAIN JDT, Nazmi Faiz Mansor diasak pemain PKNP FC, Amani Manual Aguinaldo pada aksi Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, sebentar tadi. - Foto Mohd Azren Jamaludin

Rembatan Leandro Velazquez pada minit ke-25 selepas bola tumbukan Shafiq Afifi hasil bola sepakan lintang Kunanlan masih belum mampu menjelmakan jaringan tatkala tuan rumah menguasai keseluruhan permainan.

Selang dua minit, Velazquez melegakan kem JDT selepas berjaya menjaringkan gol berpunca dari bola rembatan Diogo Luis Santo gagal ditangkap kemas Shafiq Afifi dan kesempatan itu digunakan sepenuh pemain tengah JDT itu untuk merembat bola kencang menerjah jaring.

Akibat terjahan keras dari belakang oleh Giancarlo Rodrigues terhadap Luis Santo di dalam kotak penalti pada minit ke-35, pengadil perlawanan, Khirulazuan Kidam tidak teragak-agak memberi sepakan penalti kepada tuan rumah dan penyerang import termahal Liga Malaysia (Liga M) mudah menyepak masuk menewaskan Shafiq Afifi.

Tuan rumah meraih sepakan penalti kedua pada minit ke-40 selepas tindakan Shafiq Afifi menjatuhkan Luis Santo di dalam kotak penalti tatkala penyerang Harimau Selatan itu berada di posisi terbaik menjaringkan gol, dan giliran Gonzalo Cabrera memastikan tuan rumah selesa dengan jaringan 3-0 sebelum menamatkan babak pertama perlawanan.


PEMAIN JDT, Luis Santo dan Gonzalo Cabrera meraikan jaringan bersama pada perlawanan menentang PKNP FC pada aksi Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, sebentar tadi. - Foto Mohd Azren Jamaludin

1090 dibaca
Berita Harian X