Sabtu, 9 March 2019 | 12:38pm
GAMBAR fail, pemain Liverpool, Virgil van Dijk ketika menentang Everton pada perlawanan Liga Perdana Inggeris, Ahad lalu. - Foto Reuters

Van Dijk nadi Liverpool

Liverpool: Ketajaman jentera serangan Liverpool memacu misi mereka untuk menamatkan kemarau gelaran 29 tahun Liga Perdana Inggeris tetapi dengan saingan yang semakin hampir kemuncak, fokus kini terarah kepada kekebalan benteng pertahanan yang dikemudi Virgil van Dijk apabila melayan kunjungan Burnley di Anfield malam esok.  

Ketibaan Van Dijk dengan yuran perpindahan 75 juta pound (RM399 juta) dari Southampton kurang diterima segelintir penyokong The Reds 15 bulan lalu, namun prestasi menakjubkan yang ditunjukkan bintang Belanda itu segera memadam keraguan mereka.  

Musim ini, terutamanya, kehadiran pertahanan tengah itu di Liga Perdana Inggeris cukup dirasai. 

Aksi tahap tinggi ditunjukkannya menjadi penentu kempen Liverpool sejak beberapa minggu kebelakangan ini ketika jentera serangan pasukan mula menunjukkan penurunan.

Liverpool membelasah Watford 5-0 di Anfield akhir bulan lalu, namun gagal meledakkan sebarang gol ketika berdepan Bayern Munich, Manchester United dan Everton.

Pertembungan Merseyside itu menyaksikan Van Dijk berada pada tahap menakjubkan sekali gus memberi bayangan terhadap kepentingannya kepada pasukan tatkala Mohamed Salah, Sadio Mane dan Roberto Firmino kini bergelut.    

Justeru, Van Dijk, 27, harus menjadi watak penting buat Liverpool ketika bersiap sedia melayan Burnley.   

Malah, Liverpool harus bersyukur kerana Van Dijk tidak cedera ketika benteng mereka turut tidak terlepas daripada dibelenggu kecederaan musim ini apabila kehilangan Joe Gomez, kebetulan ketika menewaskan Burnley 3-1 pada awal Disember. 

Pemain muda England itu yang dikatakan menjadi sandaran kepada barisan pertahanan Juergen Klopp sebelum kakinya retak, biarpun kepulangannya untuk menjalani latihan semalam, membayangkan peluangnya cerah untuk diturunkan menentang Tottenham akhir bulan ini.  

“Ia sesuatu yang positif. Kebanyakan pemain akan menjadi lebih cergas selepas cuti perlawanan antarabangsa, sebagai contohnya, Joe,” kata Klopp. -AFP

567 dibaca
Berita Harian X