Sabtu, 9 March 2019 | 12:18am

Taktikal, tuah tentukan nasib Arsenal, United

KOLUM APA KATA EPL

Perhitungan antara Arsenal dan Manchester United di London tengah malam esok bakal menjadi tumpuan bagi saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) minggu ini. Sebelum pertemuan itu, The Gunners menduduki tangga kelima liga dengan himpunan 57 mata, hanya ketinggalan satu mata di belakang United, di posisi setakuk di atas.

Dengan perlawanan berbaki sembilan lagi, kita boleh jangkakan misi kedua-dua pasukan pada aksi di Emirates, jam 12.30 tengah malam waktu Malaysia ini.

Apa juga keputusan perlawanan ke-30 bagi kedua-dua pasukan ini, ia jelas bakal memberi impak besar. Bagi United, jika menang, ia akan menjarakkan lagi kedudukan mereka dari Arsenal dan dalam masa sama berpeluang memintas Tottenham Hotspur di tangga ketiga, seandainya pesaingnya itu kecundang di tangan Southampton pada aksi awal. Namun jika tewas, United berdepan tercicir ke tangga keenam seandainya, Chelsea menang ke atas Wolves malam esok.

Bagi Arsenal pula, jika mampu jinak United, mereka akan kembali merampas tempat keempat dan sekali gus menghampiri Spurs. Namun seandainya kalah aksi ini, harapan untuk meraih empat teratas liga dilihat bakal pudar. Pun begitu, jika keputusan berakhir seri, kedua-dua pasukan mungkin akan dipintas oleh Chelsea yang ketika ini hanya ketinggalan dua mata di belakang United dan satu di belakang Arsenal.

Bagaimana dengan peluang kedua-dua pasukan di Emirates? Adakah Arsenal memiliki kelebihan di laman sendiri? Inilah yang menarik untuk kita saksikan.

Sebelum perlawanan ini, Arsenal dan United beraksi di pentas Eropah pada pertengahan minggu. Tatkala Red Devils mencipta kemenangan mengagumkan 3-1 ke atas PSG di laman lawannya itu untuk mara ke suku akhir Liga Juara-Juara, The Gunners pula dikejutkan oleh Rennes 1-3 dalam saingan Liga Europa.

Dengan dua situasi berbeza itu, kita percaya motivasi yang tercetus daripada kedua-dua keputusan perlawanan ini bakal menjadikan Emirates bakal `terbakar’ tengah malam malam esok. Seperti juga Ole Gunnar Solksjaer yang berazam meneruskan langkah cemerlang di Paris, pengendali Arsenal, Unai Emery turut melaungkan keazaman sama untuk menyaksikan Gunners bangkit.

Apa juga taktik bakal dipertaruhkan kedua-dua jurulatih ini, United realitinya bakal turun tanpa beberapa tonggak utama akibat kecederaan, manakala moral Arsenal terjejas. Minggu lalu, Gunners terikat 1-1 dengan Tottenham pada aksi tetangga Utara London. Pada aksi pertama, di Old Trafford kedua-dua pasukan terikat 2-2 dengan jaringan sendiri Marcos Rojo minit ke-68 selamatkan maruah pelawat. Mungkin taktikal dan tuah akan memisahkan kedua-dua pasukan ini di penghujung saingan.

Sementara itu, pendahulu liga, Manchester City dijangka tiada masalah untuk mengutip mata penuh apabila menyambut kunjungan Watford jam 1.30 pagi esok bagi meneruskan penguasaan. Pesaing terdekat mereka, Liverpool pula menyambut kedatangan Burnley. Aksi di Anfield ini mungkin ada kejutan jika anak buah Jurgen Klopp tersilap langkah kerana lawannya itu pernah mengecewakan mereka sebelum ini. Selamat menonton.

Ramalan Minggu Ini

Crystal Palace 1 Brighton 1

Southampton 2 Tottenham 2

Huddersfield 1 Bournemouth 1

Leicester 2 Fulham 2

Cardiff City 2 West Ham 1

Newcastle 2 Everton 1

Man City 3 Watford 1

Liverpool 2 Burnley 0

Chelsea 2 Wolves 0

Arsenal 1 Man United 1

Penulis adalah Penolong Editor Sukan BH

Berita Harian X