Jumaat, 8 March 2019 | 9:11pm
Pengerusi Penganjur Piala Sultan Selangor, Tan Sri Abd Karim Munisar (kiri) bersama Ketua Delegasi Singapura, Datuk Teo Hock Seng menunjukkan Piala Sultan Selangor bagi edisi ke-18 pada sidang media di Singapura. - NSTP/Mohd Azren Jamaludin

Piala Sultan Selangor: Selangor kekal tuan rumah

SINGAPURA: Piala Sultan Selangor edisi ke-18 tahun ini menyaksikan Stadium Shah Alam sekali lagi menjadi tuan rumah pada 24 Ogos ini.

Tahun lalu, skuad Pilihan Selangor menjulang trofi berprestij itu selepas kali terakhir memenanginya pada tahun 2014.

Pengerusi Penganjur Piala Sultan Selangor, Tan Sri Abd Karim Munisar, berkata tarikh 24 Ogos dipilih atas perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah selain mahu kejohanan berprestij itu diadakan di Stadium Shah Alam, tahun ini.

Katanya, tahun ini Selangor bersemangat mengekalkan tiga kejuaraan - piala utama, Piala Veteran dan Piala Cabaran Sekolah Singapura-Selangor Bawah 16 Tahun.

"Tuanku Sultan Selangor berkenan memilih 24 Ogos dan mahu mengadakan kejohanan itu sekali lagi di Shah Alam, tahun hadapan (2020) Singapura akan menjadi tuan rumah,” kata Abd Karim ketika ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat pertama bersama Delegasi Singapura di sini, hari ini.

"Tahun ini Piala Sultan Selangor akan membawa format sama, cuma bezanya Piala Cabaran Sekolah Singapura-Selangor Bawah 16 Tahun akan membabitkan pemain bawah 15 tahun kerana pemain bawah 16 tahun Singapura terbabit dengan peperiksaan pada hari kejohanan."

Abd Karim berkata, bagi edisi ke-18 tahun ini, perlawanan akan bermula dengan aksi Veteran Selangor menentang Veteran Singapura pada jam 8 malam, diikuti perlawanan utama sejam selepas itu manakala perlawanan membabitkan aksi Piala Cabaran Sekolah-Sekolah diadakan jam 5 petang.

Berita Harian X