Jumaat, 8 March 2019 | 9:40am
DIEGO Simeone. - Foto Reuters

UEFA denda Simeone 

ZURICH: JURULATIH Atletico Madrid, Diego Simeone didenda 20,000 Euro (RM91,816) susulan gelagat anehnya ketika meraikan gol kemenangan kelab itu ke atas Juventus, 2-0 dalam saingan Liga Juara-Juara, bulan lalu.

UEFA dalam satu kenyataan berkata, tribunal disiplin mereka mengenal pasti 'kelakukan tidak sopan' Simeone.  

Pengendali dari Argentina itu dilihat meraikan gol pertama pasukannya ketika menang 2-0 pada aksi pertama peringkat 16 terbaik Liga Juara-Juara menentang Juventus pada 21 Februari lalu dengan memegang alat sulit dan menggoyangkan pangkal pahanya ke arah penonton. 

Simeone kemudian memohon maaf atas tindakannya pada hari berikutnya sambil memuji keberanian yang ditonjolkan pasukannya  berjuang meraih kemenangan.

Musim lalu, bekas kapten Argentina itu disisihkan daripada final Liga Europa selepas digantung empat perlawanan Eropah.

Simeone diperintah keluar dari kawasan jurulatih kerana bertindak menjerit kepada pengadil dan menolak pembantu pengadil perlawanan ketika menentang Arsenal di peringkat separuh akhir.

Juventus pula didenda 30,000 Euro (RM137,688) dan jurulatih Massimiliano Allegri diberi amaran kerana melengahkan perlawanan di Stadium Wanda Metropolitano.

Atletico juga didenda 38,000 Euro (RM174,404.80) kerana didapati penyokong mekeka melakukan hadangan di tangga dan tindakan kesalahan membaling objek.

Perlawanan timbal balik di Turin akan berlangsung pada 13 Mac ini. - Reuters

433 dibaca
Berita Harian X