Rabu, 6 March 2019 | 9:42pm
Pengurus sementara Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer. - Foto AFP

Kontrak dengan Molde mungkin tidak lagi sah - Solskjaer

LONDON: Pengurus sementara Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer berkata kontraknya dengan kelab Norway, Molde mungkin sudah tidak lagi sah.

Situasi itu dilihat membuka jalan baginya untuk mengendalikan secara kekal di Old Trafford selepas musim ini berakhir.

Bekas penyerang United itu dipinjamkan ke kelab Liga Perdana Inggeris oleh Molde selepas Jose Mourinho dipecat pada Disember lalu dan membimbing Red Devils menang 13 daripada 16 perlawanan dalam semua kejohanan.

Solskjaer sebelum ini berkata pemilik Molde akan menyokong jika dia kekal di Old Trafford.

“Saya tidak pasti bagaimana ia berjalan. Saya fikir kontrak saya sudah tidak lagi sah dan kini saya hanya ada kontrak dengan Manchester United,” kata Solskjaer. “Mungkin perlu ada kontrak yang berbeza (untuk saya pulang ke Molde).”

Media British melaporkan Molde mengeluarkan kenyataan dalam laman web kelab itu dengan menyatakan Selskjaer sudah menandatangani kontrak perjanjian baharu selama tiga tahun sebelum berpindah ke United.

Ketua Pegawai Eksekutif Molde, Oystein Neerland, hari ini berkata beliau menjangkakan bekas pengurus itu akan kembali selepas tempohnya di United berakhir.

“Sebelum Krismas kami menandatangani perjanjian baharu dengan Ole Gunner untuk tempoh tiga tahun, sehingga penghujung musim 2021,” kata Neerland.

“Sejurus kemudian Ole mengambil alih tugas pengurus di United secara sementara, kerjanya sehingga musim panas ini. Dia kini pekerja United, dan merancang untuk kembali ke Molde selepas musim berakhir.” - REUTERS

Berita Harian X