Selasa, 5 March 2019 | 8:08pm
PENYERANG JDT, Diogo Santo (kanan) meraikan gol jaringannya ketika menentang Kashima Antlers pada saingan Kumpulan E Liga Juara Juara Asia (ACL) di Stadium Kashima, sebentar tadi. - Foto FB JOHOR Southern Tigers

JDT buat Kashima Antlers berpeluh

KUALA LUMPUR: Penyandang juara, Kashima Antlers mungkin sama sekali tidak menjangka mereka hanya mampu menang tipis 2-1 ke atas 'budak baharu,' Johor Darul Ta'zim (JDT) pada aksi pembukaan Kumpulan E Liga Juara Juara Asia (ACL) di Stadium Kashima, sebentar tadi.

Berdasarkan kelebihan beraksi di laman sendiri dan status sebagai juara bertahan, skuad bimbingan Go Oiwa menjadi pilihan untuk memenangi perlawanan itu namun selepas mendahului dua gol dan mensia-siakan banyak peluang gol, kebangkitan lewat permainan yang dijelmakan JDT nyaris membuatkan tuan rumah berputih mata.

Meskipun tewas, pujian harus diberikan kepada JDT yang tidak gugup pada penampilan sulung mereka di pentas ACL apabila tidak memberi laluan mudah kepada penyandang juara ACL itu.


PENYERANG JDT, Akhyar Rashid (dua dari kiri) dikekang dua pemain Kashima Antlers. - Foto FB JOHOR Southern Tigers

Malah, ia mungkin memberi petanda positif kepada skuad bimbingan Benjamin Mora di mana mereka dilihat mampu memberi saingan ketika bertemu pasukan lebih berpengalaman.

Pada aksi di Ibaraki itu, JDT nyaris dihukum seawal minit ke-15 apabila Farizal Marlias melakukan kekasaran ke atas Serginho namun dia menebus kesilapannya apabila dapat meneka sepakan penalti Serginho dengan tepat dan berjaya menafikan hasrat tuan rumah untuk beroleh gol pembukaan.

Selepas bertahan dengan baik 43 minit dan mengancam gawang lawan menerusi beberapa siri sepakan percuma, gawang pelawat akhirnya 'bocor' apabila hantaran lintang Taiki Hirato yang melantun di dalam kotak penalti dibantu dengan gerakan pemain Kashima Antlers mengelirukan Farizal sekali gus membolehkan Kashima Antlers mendahului 1-0.

Bersambung babak kedua, Kashima Antlers terus menekan 'gear' dan mengasak kubu JDT namun Farizal bertindak cemerlang menyelamatkan dua percubaan berturut-turut daripada tuan rumah untuk menafikan peluang mereka beroleh gol kedua perlawanan pada minit ke-46.

Kashima Antlers seharusnya memanfaatkan kesilapan yang dilakukan Adam Norazlin pada minit ke-55 namun Serginho yang lambat untuk melakukan percubaan terlebih dahulu berjaya dihalang Adam ketika dia sudahpun berada dalam situasi satu lawan satu.

Seminit berselang, Serginho yang beberapa kali terlepas peluang akhirnya mencetak nama selaku penjaring apabila percubaan jauhnya menerjah gawang JDT sekali gus membolehkan mereka melebarkan jurang kepada 2-0.

Ketika permainan berbaki 10 minit, Kashima Antlers dikejutkan pelawat apabila hantaran Hariss Harun disambut Diogo Santo yang kemudiannya melakukan rembatan menewaskan Kwoun Sun Tae untuk gol pertama JDT di pentas berprestij itu.

Selepas ini, skuad Harimau Selatan akan meneruskan pemburuan tiga mata pertama bertemu Gyeongnam FC dan kali ini, aksi akan berlangsung di laman sendiri pada 12 Mac.

4642 dibaca
Berita Harian X