Selasa, 5 March 2019 | 12:48pm
pengendali skuad B-22, Datuk Ong Kim Swee. - Foto Owee Ah Chun.

Kim Swee kekalkan 21 pemain B-22

 

KUALA LUMPUR: Pemain daripada skuad Kejuaraan Bawah 22 Tahun (B-22) Persekutuan Bolasepak Asia Tenggara (AFF) 2019 sebahagian besarnya dikekalkan untuk mengharungi pusingan kelayakan Kejuaraan Bawah B-23, Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2020, hujung bulan ini.

Menerusi satu kenyataan daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), pengendali skuad B-22, Datuk Ong Kim Swee mengekalkan khidmat 21 pemain daripada skuad beraksi di Kemboja bulan lalu tetapi menggugurkan Nabil Hakim Bokhari (Kuala Lumpur) dan Danish Haziq Saipul Hisham (Negeri Sembilan).

Bagi memperkasa cabaran negara mengharungi saingan kelayakan itu, Kim Swee mendapatkan empat pemain skuad senior pada Piala AFF 2018 iaitu Syamer Kutty Abba, Akhyar Abdul Rashid, Safawi Rasid dan Syahmi Safari.

Dua lagi pemain turut dipanggil sekali gus melengkapkan senarai 27 pemain untuk kem latihan pusat bermula Ahad ini iaitu Danial Amir Norhisham dan Faisal Abdul Halim.

Bagaimanapun, pemain yang terbabit dengan perlawanan Liga Super dan Liga Perdana pada Ahad dikehendaki melapor diri pada Isnin (11 Mac) manakala pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) yang beraksi dalam Liga Juara Juara Asia (ACL) pada Selasa (12 Mac) dibenarkan melapor diri pada Rabu (13 Mac).

Skuad B-22 kebangsaan akan menjalani latihan selama tujuh hari sebelum diuji pada satu perlawanan persahabatan antarabangsa bertemu pasukan B-22 Australia pada 17 Mac.

Selepas itu, Kim Swee akan menamakan senarai akhir 23 pemain untuk menempuh pusingan kelayakan Kumpulan J bermula dengan aksi bertemu Filipina pada 22 Mac, diikuti Laos pada 24 Mac dan China pada 26 Mac dengan ketiga-tiga perlawanan berlangsung Stadium Shah Alam.

Hanya juara setiap kumpulan bagi saingan kelayakan ini (11 pasukan) akan layak secara automatik ke pusingan akhir Kejuaraan B-23 AFC 2020 bersama tuan rumah, Thailand manakala hanya empat/lima pasukan tempat kedua terbaik turut layak bagi melengkapkan senarai 16 pasukan.

Malaysia sebelum ini yang turut dibimbing Kim Swee layak ke pusingan akhir buat kali pertama pada Kejuaraan B-23 AFC 2018 di China dan mencipta sejarah melangkah ke suku akhir sebelum tewas 2-1 kepada Korea Selatan. 

 

Senarai pemain skuad B-22

Penjaga gol: Muhammad Haziq Nadzli, Damien Lim Chien Khai, Muhd Azri Ab Ghani

Pertahanan: Dominic Tan Jun Jin, Mohd Hariz Kamarudin, Muhd Shahrul Nizam Ros Hasni, R Dinesh, Ahmad Tasnim Fitri Mohd Nasir, Ariff Ar-Rasyid Ariffin, Evan Wensley Wenceslaus, Muhd Amirul Ashraf Ariffin, Muhd Nazirul Afif Ibrahim, Muhd Syahmi Safari

Tengah: Syamer Kutty Abba, Nik Akif Syahiran Nik Mat, Muhd Danial Haqim Draman, Muhd Daniel Amier Norhisham, K Thivandaran, Muhd Izzan Syahmi MustapaSayap: Akhyar Rashid, Safawi Rasid, Mohd Faisal Abdul Halim, Arisdius Jais 

Penyerang: Nik Azli Nik Alias, R Kogileswaran, Muhd Jafri Firdaus Chew, Muhd Hadi Fayyadh Abdul Razak

Berita Harian X