Selasa, 5 March 2019 | 11:15am
PEMAIN Manchester United, Paul Pogba (tengah) gagal menyempurnakan sepakan penalti ketika aksi menentang Southampton. - Foto EPA

Pogba, Lukaku berbalah

MANCHESTER: Pemain Manchester United, Paul Pogba dan Romelu Lukaku dilaporkan terbabit dalam perbalahan selepas Red Devils menang ke atas Southampton, Ahad lalu.

Kedua-dua pemain itu dikatakan bertelagah sejak aksi di Old Trafford yang menyaksikan Lukaku meledak dua gol dalam kemenangan 3-2 itu.

Begitupun ia menjadi hari malang buat pemenang Piala Dunia, Pogba apabila dia gagal menyempurnakan penalti di minit terakhir perlawanan.

Nasib baik kegagalan itu tidak merencatkan keputusan perlawanan tatkala kemenangan United membolehken mereka memintas semula Arsenal di di kedudukan keempat.

Namun, ia mencetuskan perbalahan di bilik persalinan antara Lukaku dan Pogba, menurut akhbar The Sun.

Akhbar itu melaporkan Lukaku amat kecewa dengan keputusan Pogba mengambil sepakan penalti tatkala dia turut memburu hatrik ketika berdepan Saints.

Dia juga didakwa memberitahu Pogba sekiranya peranan itu diberikan kepadanya mungkin dia sudah dapat melengkapkan hatrik.

Bagaimanapun, peranan selaku pengambil penalti di United sememangnya digalas oleh Pogba.

Tambah laporan berkenaan, insiden itu turut memaksa pengendali sementara United, Ole Gunnar Solskjaer menenangkan kedua-dua pemain itu.

Menurut sumber United: "Ia adalah perbualan yang hangat dan Romelu dilihat tidak gembira dengan apa yang dibuat Pogba. Dia turut mengingatkan Paul bagaimana dia membantunya sewaktu Paul dipinggirkan Mourinho. Ia memerlukan Ole untuk menenangkan situasi terbabit.

"Pogba dan Lukaku diketahui umum atas hubungan rapat mereka, dengan bintang Perancis itu juga memainkan peranan penting dalam meyakinkan United untuk mendapatkan penyerang Belgium itu dari Everton. - Agensi

Berita Harian X