Isnin, 4 March 2019 | 11:41pm
JURULATIH skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe. - NSTP/Iqmal Haqim Rosman

Cheng Hoe punya misi serampang dua mata

PETALING JAYA: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mahu Tan Cheng Hoe merencana resipi terbaik untuk memacu skuad Harimau Malaya meraih kejuaraan sulung Piala Airmarine yang dijadualkan berlangsung pada 20 hingga 23 Mac ini.

Bukan mencari glamor sebaliknya kemenangan amat diperlukan bagi memperbaiki ranking ketika misi negara kini adalah untuk berada dalam kelompok 34 negara terbaik Asia bagi mengelak beraksi dalam playoff kelayakan Piala Dunia 2022.

Sebagai permulaan, skuad kebangsaan dijadualkan menentang negara jiran, Singapura dan FAM melihat perlawanan itu sebagai final untuk memintas lawan berkenaan yang kini menghuni ranking ke-34 Asia.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata Cheng Hoe tidak boleh persiakan peluang ini dan harus memanfaatkan beraksi di gelanggang sendiri.

"Sebenarnya saya nak kita jumpa Oman sebab daripada kesemua pasukan, mereka berada di ranking paling tinggi. Kalau tanya saya, pastinya saya mahu kita menang dan secara automatik kita dapat baiki ranking," katanya ketika ditemui pada Majlis Undian Piala Airmarine di Wisma FAM, hari ini.

Hadir sama Pengarah Urusan ProEvents Sdn Bhd, San Boon Wah dan Pengerusi Eksekutif Airmarine, Datuk Ananth S Nathan.

"Penganjuran Piala Airmarine ini adalah sebagai satu komitmen kami kepada negara," katanya.

Dalam satu lagi perlawanan, Afghanistan yang baharu mengesahkan penyertaan bagi menggantikan Kepulauan Solomon dijadualkan bertemu Oman bagi memburu slot ke final.

Dalam masa sama, Hamidin turut mengumumkan Harimau Malaya akan mengharungi satu lagi perlawanan persahabatan menentang Nepal pada 26 Mac ini.

453 dibaca
Berita Harian X