Ahad, 3 March 2019 | 1:40am
RIYAD Mahrez (dua dari kanan) meraikan jaringan gol bersama rakan sepasukan ketika perlawanan menentang Bournemouth. - Foto Reuters

City rampas carta teratas, United 'berpeluh' sebelum menang

LONDON: Romelu Lukaku meledak dua gol bagi membantu Manchester United meraih kemenangan sukar 3-2 ke atas Southampton ketika seteru tetangga, Manchester City merampas kedudukan pendahulu daripada Liverpool.

Kemenangan di Old Trafford menyaksikan United merampas kedudukan keempat Liga Perdana Inggeris daripada Arsenal yang sebelum itu terikat 1-1 dengan Tottenham pada aksi lebih awal.

Penyandang juara, City turut merampas kedudukan pendahulu liga dengan membenam Bournemouth 1-0 dengan jaringan tunggal perlawanan diledakkan Riyad Mahrez pada minit ke-55.

Sekali pun bermula baik di gelanggang keramat mereka, United terlebih dulu ketinggalan apabila Southampton menjaringkan gol menerusi Yann Valery pada minit ke-26.

Terdesak memburu jaringan, gol yang dicari-cari United hanya hadir pada babak kedua apabila Andreas Pereira menyamakan kedudukan pada minit ke-53 sebelum Lukaku pantas menggandakan kelebihan pada minit ke-59.


ROMELU Lukaku meraikan jaringan gol bersama rakan sepasukan ketika perlawanan menentang Southampton di Old Trafford. - Foto EPA

Begitupun, tuan rumah sekali lagi dikejutkan dengan jaringan penyamaan pelawat menerusi James Ward Prowse pada minit ke-75 sebelum Lukaku menjadi penyelamat dengan meledak gol kemenangan seminit sebelum 90 minit masa permainan berakhir.

Keputusan di Old Trafford menyaksikan United ketika ini memiliki kelebihan satu mata berbanding Arsenal selepas mengharungi 29 perlawanan tetapi Chelsea yang bermain kurang dua perlawanan turut berpeluang merampas kedudukan berkenaan jika menang.

Liverpool dalam pada itu boleh merampas kembali kedudukan pendahulu jika menang ke atas Everton dalam pertembungan tetangga Merseyside, malam esok. - AGENSI

1961 dibaca
Berita Harian X