Sabtu, 2 March 2019 | 11:00pm
KANE bersama Lloris pada aksi menentang Arsenal. - Foto AFP

Kane, Lloris selamatkan Spurs

LONDON: Pierre-Emerick Aubameyang harus menyalahkan diri selepas kegagalannya untuk menyempurnakan sepakan penalti pada saat akhir menyaksikan Arsenal terikat 1-1 dengan musuh tetangga, Tottenham, sebentar tadi.

Selepas memperoleh gol di awal permainan sebelum Tottenham menyamakan kedudukan pada babak kedua, Arsenal berpeluang untuk merakam kemenangan apabila dianugerahkan penalti pada minit ke-90 selepas Aubameyang dikasari Davinson Sanchez.

Begitupun, penyerang dari Gabon itu tampak gemuruh dan sepakannya mudah dibaca penjaga gol Spurs, Hugo Lloris dengan tindakan susulan juga gagal menghasilkan sesuatu yang diharapkan.

Pada aksi di Wembley itu, Aaron Ramsey meletakkan pelawat di depan pada minit ke-16 dengan tuan rumah gagal memberi ancaman sehinggalah pertengahan babak kedua.

Kane berjaya memecah kebuntuan tetapi jaringan dibatalkan susulan ofsaid sebelum memperoleh tuah pada minit ke-74 selepas memperoleh penalti yang disempurnakan penyerang England itu.

Spurs memperoleh penalti selepas Shkodran Mustafi didapati mengasari Kane di dalam kotak penalti susulan sepakan percuma.


AKSI Kane (tengah) ketika mengawal bola. - Foto EPA

Begitupun, ketika Arsenal berpeluang mencipta kemenangan, Aubameyang yang menggantikan Alexandre Lacazette pada minit ke-56 gagal menyempurnakan penalti untuk kedua-dua pasukan berkongsi satu mata.

Keputusan seri tidak mengancam kedudukan ketiga Tottenham dalam carta liga dengan kedudukan keempat Arsenal boleh dirampas Manchester United jika mereka menewaskan Southampton pada perlawanan berikutnya. - Agensi

460 dibaca
Berita Harian X