Jumaat, 1 March 2019 | 5:57pm

Afghanistan sertai Piala Airmarine ganti Kepulauan Solomon

KUALA LUMPUR: Afghanistan dipilih sebagai pasukan baharu yang akan berentap dalam saingan bola sepak Piala Airmarine, di sini, pada 20 hingga 23 Mac ini, bagi menggantikan Kepulauan Solomon yang menarik diri.

Perkembangan itu disahkan oleh Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam ketika dihubungi BH Sukan, sebentar tadi.

“Kami ada beberapa pasukan yang turut menunjukkan minat untuk menyertai Piala Airmarine, namun kami berpendapat Afghanistan adalah pasukan terbaik untuk mengisi kekosongan itu.

“Aksi persahabatan kini perlu lebih strategik di mana keutamaan adalah untuk mendapatkan perlawanan menentang pasukan pada ranking yang lebih tinggi berbanding skuad kebangsaan.

“Kami yakin kehadiran Afghanistan akan merancakkan lagi saingan Piala Airmarine dan kualiti pertandingan tidak akan terjejas memandangkan kualiti Afghanistan dan Kepulauan Solomon hampir sama,” katanya.

Meskipun gagal menguji Kepulauan Solomon yang berada pada ranking ke-143 dunia, namun Afghanistan dilihat menjadi pengganti yang baik dengan kedudukan ke-147 dunia dan melengkapkan kembali saingan yang turut disertai Oman (ranking ke-90) dan Singapura (ranking-165).

Berita Harian X