Khamis, 28 Februari 2019 | 6:43pm
LOGO Kejohanan Piala Airmarine 2019.

Kepulauan Solomon tarik diri Piala Airmarine

 

KUALA LUMPUR: Berbaki tiga minggu lagi penganjuran Piala Airmarine, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu mencari sebuah lagi pasukan baharu selepas Kepulauan Solomon mengesahkan mereka tidak dapat menyertai saingan empat penjuru itu.

Ia selepas peraturan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) menyekat mereka daripada beraksi dalam kejohanan yang membuka tirainya pada 20 hingga 23 Mac ini kerana sudah 'terlebih' jumlah perlawanan.

Berdasarkan peraturan kalendar antarabangsa FIFA, setiap pasukan hanya boleh mengharungi maksimum dua aksi dalam satu jendela antarabangsa.

Dengan penyertaan Kepulauan Solomon dalam Piala Airmarine, mereka bakal beraksi dalam dua perlawanan namun pasukan itu juga sudah mengesahkan aksi persahabatan bertemu Taiwan pada 24 Mac.

Situasi itu sekali gus menyaksikan mereka bakal beraksi tiga perlawanan dalam satu jendela antarabangsa sekali gus perlu melepaskan satu perlawanan supaya tidak melanggar peraturan ditetapkan.

Ketua Pegawai Eksekutif Persekutuan Bolasepak Kepulauan Solomon (SIFF), Leonard Paia mengesahkan perkara terbabit dan mereka terpaksa menarik diri daripada saingan Piala Airmarine memandangkan persetujuan sudah dicapai dengan Taiwan terlebih dulu.

"Kami mendapat nasihat daripada FIFA dan Persekutuan Bolasepak Oceania (OFC)  kerana berdasarkan Undang Undang FIFA, setiap pasukan hanya boleh beraksi maksimum dua perlawanan dalam satu jendela antarabangsa.

"Kami sememangnya berbesar hati untuk menyertai saingan Piala Airmarine namun situasi tidak membenarkan kami kerana kami sudah mendapat kelulusan daripada FIFA dan OFC untuk menentang Chinese Taipei pada 24 Mac," katanya menerusi laman rasmi SIFF.

Selepas Taiwan, mereka akan beraksi dalam satu lagi aksi persahabatan bertemu Vanuatu pada 17 Mac namun ia berlangsung di luar kalendar FIFA dan tidak mendatangkan sebarang masalah.

504 dibaca
Berita Harian X