Khamis, 28 Februari 2019 | 2:02pm
PEMAIN Pahang bakal berdepan PKNP FC di Stadium Majlis Perbandaran Manjung (MPM), Perak bertemu PKNP FC tanpa tiga tonggak utama. - Foto Farizul Hafiz Awang.

Tok Gajah 'tak goyang' tanpa 3 tonggak

KUANTAN: Skuad Pahang yang akan bertandang ke Stadium Majlis Perbandaran Manjung (MPM), Perak bertemu PKNP FC tanpa tiga tonggak utama, Sabtu ini.

Mereka ialah dua pemain pertahanan, Muslim Ahmad yang mengalami kecederaan manakala Herold Goulon dan Safuwan Baharuddin, masing-masing digantung satu perlawanan kerana layangan kad merah dan mengutip tiga kad kuning.

Ketiadaan tonggak utama skuad kendalian Dollah Salleh itu pasti memberi tamparan selepas sekadar mencatat seri 1-1 menentang Selangor di Kuantan, Ahad lalu.

Namun, kehadiran semula perancang tengah, Nor Azam Azih yang menamatkan penggantungan satu perlawanan ketika dilayang kad merah pada pertemuan dengan Melaka United 16 Februari lalu, sudah pasti melegakan Dollah.

Bagi Dollah, dia tidak bimbang dengan situasi yang melanda skuad kendaliannya itu kerana percaya dengan kemampuan pemain lain yang bakal mengisi kekosongan itu.

"Saya perlu percaya dengan kemampuan semua pemain dan tidak boleh terlalu bergantung kepada pemain tertentu sahaja jika mahu membentuk sebuah pasukan yang mantap.

"Oleh itu, saya harap pemain yang bakal mengisi tempat tiga pemain lain yang tidak boleh beraksi mempamerkan prestasi terbaik untuk mengelak daripada terus keciciran mata.

"Selepas gagal mencatat kemenangan ke atas Selangor Ahad lalu, skuad Tok Gajah perlu kembali meraih kemenangan untuk bersaing dengan Kedah dan Johor Darul Ta'zim (JDT)," katanya.

Difahamkan, posisi pertahanan bakal diisi oleh Afif Amiruddin dan Bunyamin Umar untuk bergandingan dengan kapten pasukan, Matthew Davies dan Mohd Faisal Rosli.

Di bahagian tengah pula Wan Zaharulnizam Wan Zakaria yang beraksi cemerlang dan menjaringkan gol ketika Pahang seri dengan Selangor dijangka menjadi pilihan.

Wan Zaharulnizam bakal bergandingan dengan Nor Azam, Mohamadou Sumareh dan Saddil Ramdani untuk membantu jentera serangan membolosi gawang PKNP.

Berita Harian X