Khamis, 28 Februari 2019 | 10:19am
Guardiola mengakui pasukannya ‘boleh lebih baik’ selepas kemenangan 1-0 kepada West Ham di Etihad awal pagi tadi. - Foto Reuters
Pemain Manchester City, Kevin De Bruyne (tengah) mengawal bola sambil cuba dikejar pemain West Ham United, Pedro Obiang (kiri) dalam saingan Liga Perdana Inggeris di Etihad. - Foto AFP

Kami boleh lakukan lebih baik - Guardiola

MANCHESTER: Pengurus Manchester City, Pep Guardiola mengakui pasukannya ‘boleh lebih baik’ selepas kemenangan 1-0 kepada West Ham di Etihad awal pagi tadi bagi meneruskan pemburuan gelaran Liga Perdana dan juga menambah trofi keempat.

Selepas kemenangan menerusi sepakan penalti kepada Chelsea dalam final Piala Liga di Wembley, pasukan bimbingan Guardiola itu memerlukan sehingga minit ke-59 menerusi sepakan penalti Sergio Aguero untuk mencatatkan kemenangan dan meletakkan pasukan itu satu mata di belakang Liverpool.

Dengan Piala Liga sudah berada dalam koleksi, pasukan City kini masih bersaing dalam Piala FA dan Liga Juara-Juara dan ada potensi mereka mengumpul keempat-empat trofi dalam satu kempen.

Perlawanan awal pagi tadi bagaimanapun bukanlah mudah buat mereka dengan pengurus West Ham, Manuel Pellegrini melabel sebagai penalti ‘lembut’, dihadiahkan apabila Felipe Anderson melakukan pergeseran dengan pemain gantian City, Bernardo Silva, bagi membolehkan Aguero peluang untuk melakukan sepakan.

“Kami bermain sangat baik. Anda lihat keputusan, 1-0, anda rasa boleh lakukan lebih baik,” kata Guardiola. “Sudah tentu kami mencipta banyak peluang.


Pemain Manchester City, Sergio Aguero menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-59. - Foto Reuters

Pemain Manchester City, Leroy Sane (kanan) berebut bola dengan pemain West Ham United, Issa Diop dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Etihad. - Foto EPA

“Lima minit pertama boleh menjadi 2-0 dengan tiga percubaan jelas...Selepas 120 minit (menentang Chelsea), tekanan yang kami beri sangat mengagumkan. Kami mempamer persembahan menakjubkan. Saya gembira dengan cara kami bermain.”

“Kami boleh menambah satu lagi jaringan, tapi ia bukanlah mudah. Malangnya ia sangat mendesak.

“Beraksi selang tiga hari adalah sukar. Kami boleh lakukan lebih baik. Jika kami jaringkan gol kedua atau ketiga tetapi permainan kami sangat bagus.”

Sementara itu Pellegrini, yang membimbing City bagi memenangi gelaran pada 2014, berpendapat Anderson tidak sepatutnya menerima hukuman kerana hanya bergesel dengan Bernardo Silva.

“Saya tidak gembira dengan keputusan ini kerana ia tak sepatutnya, ia bukan penalti. Bernardo Silva menjatuhkan dirinya apabila dia disentuh.

“Lanzini melakukan perkara yang sama tetapi tidak menjatuhkan diri, jadi pengadil tidak meniup wisel.” - AFP

458 dibaca
Berita Harian X