Rabu, 27 Februari 2019 | 8:33pm
GAMBAR fail, pemain import Pahang dari Brazil, Jose Eduardo atau lebih dikenali sebagai Ze Love ketika menjalani sesi latihan bersama rakan sepasukannya sebagai persiapan bagi menghadapi saingan Liga Super 2019 di Padang Taman Gelora, Kuantan. - Foto Muhd Asyraf Sawal

Ze Love dituntut dapatkan jaringan

 

KUANTAN: Pemain import Pahang, Jose Eduardo dituntut mempamer ketajaman selaku penyerang berbisa selepas gagal menjaringkan gol dalam empat perlawanan Liga Super setakat ini.  

Pemain berasal dari Brazil yang dikenali sebagai Ze Love itu belum menemui sentuhan gol dan membuktikan dia antara penyerang import perlu diawasi lawan musim ini.  

Jurulatih Tok Gajah, Dollah Salleh berkata, beliau sudah menegur pemain berumur 32 tahun itu untuk membuktikan kemampuan sebenar dalam membantu skuad itu.  

"Sebenarnya, dalam sesi latihan komitmen ditunjukkan Eduardo sangat bagus tetapi ia jauh berbeza apabila turun beraksi. Dia seperti hilang punca dan hanya beraksi baik di awal perlawanan.  

"Selepas itu, dia tidak dapat membantu menghasilkan gol ketika pasukan tidak mengharapkan jaringan daripada pemain lain termasuk Dickson Nwakaeme.  

"Sebagai contoh, pada perlawanan dengan Selangor Ahad lalu, dia hilang fokus walaupun pada awal perlawanan bermain dengan baik dan berusaha untuk membolosi gawang Red Giants," katanya.  

Justeru, Dollah yang juga bekas jurulatih kebangsaan mahu Eduardo menemui sentuhan jaringan sebagai motivasi untuknya lebih berkeyakinan.  

"Saya percaya dua perlawanan yang akan dihadapi ini Pahang dapat menyaksikan dia semakin serasi bersama rakan sepasukan dalam usaha menjaringkan gol pertamanya," katanya.  

Daripada lapan gol dijaringkan Pahang, Nwakaeme muncul penjaring terbanyak iaitu tiga gol, diikuti Herold Goulon (dua), masing-masing satu gol oleh Norshahrul Idlan Talaha, Saddil Ramdani dan Wan Zaharulnizam Wan Zakaria.

Berita Harian X