Selasa, 26 Februari 2019 | 1:51pm
MANUEL Pellegrini. - Foto AFP

'Sukar Man City cabar empat trofi'

LONDON: Manuel Pellegrini memberi amaran terhadap bekas kelab kendaliannya, Manchester City mengenai kepayahan yang akan bakal ditempuh musim ini bagi memburu empat kejuaraan.

City memenangi satu daripada empat trofi yang ditawarkan apabila menjulang Piala Liga dan masih berpeluang meraih kejuaraan Liga Perdana Inggeris, Liga Juara-Juara dan Piala FA.

Begitupun, menjelang jadual perlawanan yang padat, skuad kendalian Pep Guardiola itu berdepan masalah apabila kehilangan dua pemain tonggak, Fernandinho dan Aymeric Laporte susulan kecederaan ketika menewaskan Chelsea, semalam.

Justeru, Pellegrini yang mengemudi City memenangi Liga Perdana Inggeris pada musim 2013-14 mengakui sukar untuk pasukan itu bersaing mencabar kesemua trofi yang masih mampu dijulang.

“Semuanya tidak mustahil dalam bola sepak,” kata Pellegrini yang mengendalikan West Ham dan dijadual bertemu City di Etihad, awal pagi Khamis ini.

“Tetapi cara kamu untuk terus bersaing dalam kesemua kejohanan menjadi lebih sukar. Saya berkata pada musim pertama ketika berada di sana yang jika kami terus mara di Liga Juara-Juara tetapi disingkirkan Barcelona, dan kemudian mengharungi permainan yang kamu terpaksa tangguhkan kerana saingan piala, kamu tidak akan mempunyai masa yang cukup untuk menamatkan saingan liga.

“Mungkin dalam seminggu kamu perlu bermain empat perlawanan, tetapi sudah tentu kamu tidak boleh melakukannya.”

Pertemuan dengan West Ham menjadi perlawanan ketujuh City pada bulan ini dengan kelab itu ketinggalan satu mata di belakang pendahulu, Liverpool.

Pellegrini yang meninggalkan City pada 2016 begitupun mengakui pasukan itu terus meningkat.

“Mereka menjadi semakin baik setiap tahun. Mungkin selepas saya menamatkan kontrak saya mereka membawa beberapa pemain baharu, membuat banyak pelaburan,” katanya. “Sejak daripada awal, mereka sentiasa pasukan terbaik di England bersama pemilik, staf teknikal, mereka lakukannya dengan amat baik.” - Agensi

741 dibaca
Berita Harian X