Selasa, 26 Februari 2019 | 7:52am
Jurulatih Atletico Madrid, Diego Simeone. - Foto AFP

Simeone undang masalah

PARIS: Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) mengumumkan sudah memulakan prosiding disiplin terhadap jurulatih Atletico Madrid, Diego Simeone atas kesalahan melakukan tindakan tidak wajar.

Pengendali dari Argentina itu meraikan gol pertama pasukannya ketika menang 2-0 pada aksi pertama peringkat 16 terbaik Liga Juara-Juara menentang Juventus pada 21 Februari lalu dengan memegang alat sulit dan menggoyangkan pangkal pahanya.

Simeone membuat permohonan maaf atas tindakannya pada hari berikutnya dan berkata adalah untuk memuji keberanian yang ditonjolkan pasukannya bagi meraih kemenangan.

Jurulatih Juve, Massimiliano Allegri dan kelab Itali itu turut berdepan tindakan disiplin susulan kelewatan sepak mula perlawanan di ibu kota Sepanyol itu.

Atletico turut berdepan tuduhan selepas peminatnya menghalang laluan tangga dan membaling objek ketika perlawanan.

Tiada sebarang tarikh perbicaraan ditentukan oleh badan induk bola sepak itu dengan perlawanan timbal balik kedua akan berlangsung di Turin pada 13 Mac ini. - AFP

Berita Harian X