Isnin, 25 Februari 2019 | 6:21pm
YUSOFF (dua, kanan) bersama Naib Presiden FAM Mohd Joehari Ayub (kiri), Julian Kam (dua, kiri) dan Pengarah Urusan ProEvents International San Boon Wah (kanan) ketika melancarkan logo Kejohanan Piala Airmarine 2019. - Foto Hafiz Sohaimi.

Piala Airmarine bukan ganti Pestabola Merdeka

 

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak pernah mengiktiraf Piala Airmarine sebagai pengganti kepada penganjuran Pestabola Merdeka, sebaliknya ia lebih kepada membina platform untuk menarik minat pasukan terbaik menguji kekuatan dengan Harimau Malaya.

Penganjuran Piala Airmarine yang turut disertai Oman, Singapura dan Kepulauan Solomon bakal dianjurkan buat julung kali pada 20 hingga 23 Mac ini dan dijadual berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi berkata, tiada mana-mana penganjuran mampu menggantikan Pestabola Merdeka yang memiliki nilai sentimental namun ia mungkin tidak dapat dianjurkan tahun ini ekoran kekangan masa.

"Pestabola Merdeka ada nilai sentimental tersendiri dan kami akan terus kekalkan tradisinya. Jadi kita tidak mahu jadikan Piala Airmarine sebagai ganti sebaliknya ia akan jadi tambahan dalam kalendar tahunan untuk pasukan negara.

"Ia satu kejohanan yang memberi peluang buat pasukan negara beraksi di peringkat tertinggi dan kompetitif. Sebenarnya lebih banyak aksi lagi bagus namun saya tidak nampak Pestabola Merdeka dapat dianjurkan tahun ini disebabkan jadual terlalu padat tahun ini," katanya ketika ditemui pada sidang media Piala Airmarine, semalam.

Hadir sama pada sidang media itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif ProEvents Antarabangsa, Julian Kam yang penyifatkan penganjuran itu sebagai satu usaha lebih ke depan dalam usaha membantu FAM menaikkan martabat bola sepak Malaysia. 

Tiket perlawanan akan mula dijual pada 1 Mac ini menerusi Proticket berharga RM45 untuk tempat duduk grandstand dan RM35 untuk tempat duduk terbuka.

"Ada dua matlamat utama Piala Airmarine yang akan dianjurkan dalam kalendar FIFA (Persekutuan Bolasepak Antarabangsa). Selain mewujudkan platform bagi pasukan kebangsaan dalam aksi kompetitif, ia dapat menarik minat peminat bola sepak di Asia Tenggara datang ke Kuala Lumpur untuk menyaksikan perlawanan ini," katanya.

547 dibaca
Berita Harian X