Isnin, 25 Februari 2019 | 2:07pm
EDEN Hazard. - Foto Reuters

'Hazard ada ramuan cemerlang di Real'

LONDON: Bintang Belgium, Eden Hazard memiliki bakat dan personaliti untuk mencipta gemilang di Real Madrid jika dia memilih meninggalkan Chelsea, kata Jose Mourinho.  

Hazard yang kontraknya bersama Blues berakhir pada Jun 2020 pada tahun lalu berkata bermain untuk Real yang juga juara Eropah 13 kali sebagai impiannya sekali gus menyaksikan perbincangan membabitkan lanjutan kontraknya tersekat.  

Pengendali Chelsea,  Maurizio Sarri pada bulan lalu berkata Hazard, 28, bebas untuk meninggalkan kelab Inggeris itu jika dia sudah membuat keputusan untuk berpindah.  

“Adakah dia mempunyai bakat bermain untuk Real Madrid? Dia memilikinya,” kata Mourinho yang pernah mengendalikan Real dan menguruskan Chelsea dan Hazard pada musim 2013 to 2015.  

“Adakah dia mempunyai personaliti untuk menyarung jersi ‘amat berat’ dan bermain di depan peminat di Bernabeu? Ya, dia memiliki personaliti itu.  

“Mengenai cita-cita Eden... bermain untuk Chelsea sepanjang karier atau bermain untuk gergasi seperti Real Madrid, saya tidak boleh menyatakannya, kerana saya sudah lama tidak bercakap dengannya.”  

Mourinho yang ketika ini bertugas sebagai pengulas bola sepak di televisyen sejak dipecat Manchester United pada Disember lalu turut menyuarakan keinginan kembali ke arena pengurus sebelum musim depan bermula.  

“Dalam fasa yang singkat dalam kehidupan saya, saya berharap ia hanya sehingga Jun. Saya lebih prihatin terhadap apa yang orang lakukan berbanding apa yang akan saya lakukan,” katanya. - REUTERS

Berita Harian X