Sabtu, 23 Februari 2019 | 11:41pm
Pemain JDT, Muhammad Safawi Rasid (10) meraikan jaringan kedua bersama rakan sepasukan ketika perlawanan Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin. - NSTP/Mohd Azren Jamaludin
Pemain JDT, Muhammad Safawi Rasid (kanan) diasak pemain Melaka, Safiq Rahim (kiri) dalam perlawanan Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin. - NSTP/Mohd Azren Jamaludin

JDT terus tekan Kedah selepas jinak Melaka

JOHOR BAHRU: Johor Darul Ta'zim (JDT) kembali menemui rentak kemenangan selepas apabila Melaka United 2-1 pada aksi Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, di sini, sebentar tadi.

Kemenangan itu sekali gus melonjakkan skuad Harimau Selatan ke tangga kedua liga dengan himpunan 10 mata untuk berada di belakang Kedah yang berada di persada dengan kelebihan jaringan gol.

Pada aksi malam tadi, JDT turun tanpa kelibat Mauricio Nascimento di posisi pertahanan dengan gandingan pemain tempatan Aidil Zafuan Abd Radzak bersama Adam Nor Azlin dipertaruhkan mengemudi benteng bagi mengekang pemain skuad kendalian Zainal Abidin Hassan.

Tuan rumah terlepas peluang mencipta jaringan pada minit ke-15 selepas bola sepakan percuma Diogo Luis Santo yang terkena benteng pelawat disambar Leandro Velazquez. Namun bola sepakan leret tersasar walaupun hanya berdepan dengan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat.


Pemain JDT, Diogo Luis Santo (8) diasak pemain Melaka, Muhammad Shukor Adan (12) pada perlawanan Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin. - NSTP/Mohd Azren Jamaludin

Sekali lagi anak didik Luciano Figueroa masih belum mampu merungkai jaringan tatkala memiliki peluang terhidang pada minit ke-24 selepas bola sepakan percuma Gonzalo Cabrera pada jarak 20 meter hanya sipi di penjuru kiri gawang.

Tindakan pemain pertahanan pelawat, Jang Suk-won yang menghalang percubaan Velazquez menggunakan tangan pada minit ke-35 membawa padah selepas pengadil perlawanan, Razlan Joffri Ali menghadiahkan sepakan penalti.

Cabrera yang ditugaskan mengambil sepakan penalti tidak berdepan masalah untuk merembat bola kencang tepat ke penjuru kanan menewaskan Khairul Fahmi untuk meletak tuan rumah selesa mendahului 1-0.

Ketika aksi berbaki empat untuk ditamatkan pada babak pertama, tuan rumah selesa mendahului 2-0 selepas bola umpanan Luis Santo menyaksikan Safawi Rasid bertindak berani menyusup masuk ke dalam kotak penalti sebelum mudah menendang bola menewaskan Khairul Fahmi.

Bersambung babak kedua, tuan rumah terus bernafsu untuk menambah jaringan malah penampilan pertama Valazquez juga tidak mengecewakan selepas memainkan peranan penting dalam perlawanan itu apabila sering menjanakan gerakan berbahaya yang mengundang cemas benteng pelawat.

Namun serangan balas pelawat pada minit ke-73 berjaya menghasilkan gol selepas bola rembatan awal Mohd Raimi Md Nor disambar Patrick Reichelt untuk menewaskan penjaga gol, Farizal Marlias untuk sekali gus merapatkan jurang gol tapi jaringan itu belum cukup untuk menafikan kemenangan JDT.

1626 dibaca
Berita Harian X