Sabtu, 23 Februari 2019 | 7:18pm
KETUA jurulatih skuad Kebangsaan B22, Datuk Ong Kim Swee. - Foto Owee Ah Chun

Kim Swee perlu dapat sokongan penuh semua pihak

PHNOM PENH, Kemboja: Selepas mengharungi kalendar bola sepak antarabangsa dengan jayanya pada musim 2018, permulaan tahun baharu 2019 pula tercalar susulan kegagalan skuad bawah 22 (B-22) melangkah ke peringkat separuh akhir saingan Piala B-22 AFF di Kemboja semalam.

Berdasarkan pencapaian sepanjang tahun lalu, skuad B-23 tahun nyata paling gemilang apabila mencatat dua kali sejarah tersendiri apabila mencipta kejutan di Kejuaraan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) di Kunshan, China dengan melangkah hingga ke suku akhir sebelum ditundukkan Korea Selatan 1-2.

Rentak cemerlang itu kemudiannya diteruskan dalam kempen Sukan Asia di Indonesia yang menyaksikan skuad B-23 kendalian Datuk Ong Kim Swee sekali lagi mencuri tumpuan apabila mengejutkan Korea Selatan yang diperkuatkan bintang Tottenham Hotspur, Son Hyeung Min menerusi kemenangan bersejarah 1-0 sekali gus mengungguli Kumpulan E sebelum tewas di pusingan kedua di tangan Jepun.

Momentum positif itu disambung oleh skuad senior di Piala AFF apabila anak buah Tan Cheng Hoe melakar kejutan mara hingga ke perlawanan akhir bertemu Vietnam meskipun pada awalnya langsung tidak diberikan sebarang harapan.

Bagaimanapun, hajat skuad Harimau Malaya untuk mengulangi kejayaan pasukan 2010 menjulang trofi AFF tidak kesampaian apabila tumbang kepada skuad generasi emas Vietnam menerusi keputusan 2-3 secara agregat.

Ia mungkin semua kejayaan itu adalah hasil usaha gigih pemain dan jurulatih dalam merencanakan strategi paling ampuh namun harus diingat bahawa kedua-dua pasukan iaitu skuad B-23 dan senior turut diperkuatkan dengan pemain terbaik sepanjang tahun lalu.

Pada pengamatan penulis, jika skuad B-22 di Kemboja ini turut mendapat kerjasama baik daripada semua kelab dengan melepaskan pemain mereka, Malaysia bukan saja mampu melepasi peringkat kumpulan malah turut berpeluang cerah menjulang mahkota kejuaraan buat pertama kali dalam kejohanan itu.

Bukan mahu menidakkan keupayaan negara lain namun jika Kim Swee diberi kebebasan untuk memanggil lapan tonggak idamannya, pasti aib di Phnom Penh dapat dielakkan.

Bayangkan jika lapan pemain iaitu Syamer Kutty Abba (JDT), Safawi Rasid (JDT), Akhyar Rashid (JDT), Syahmi Safari (Selangor), Muhammad Daniel Amier Norhisham (FELDA United), Muhammad Zahril Azri Zabri (FELDA United), Muhammad Faisal Abdul Halim (Pahang) dan Mohd Fadzrul Danel Mohd Nizam (Kedah) dapat dikumpulkan, sudah tentu skrip akan berbeza di sini.

Bagaimanapun prestasi yang dipamerkan pemain muda negara di sini tetap membanggakan terutamanya permata baharu, Hadi Fayyadh Abdul Razak yang berjaya merekodkan dua gol sepanjang kejohanan itu.

Sentuhan berbisa penyerang kelab divisyen dua Jepun, Fagiano Okayama itu pastinya terus ditagih oleh Kim Swee yang bakal mengharungi pusingan kelayakan Kejuaraan AFC B-23 di Kuala Lumpur pada bulan depan.

Lantas, bagi memastikan tiket ke pusingan akhir AFC di Bangkok, tahun depan tidak tercicir, maka berilah kerjasama sepenuhnya dengan meletakkan kepentingan negara melebihi segala-galanya.

255 dibaca
Berita Harian X