Sabtu, 23 Februari 2019 | 12:23pm
PEMAIN Arsenal, Sokratis. - Foto AFP

Arsenal perlu tuah - Sokratis

LONDON: Nasib malang yang menimpa barisan pertahanan Arsenal seakan berakhir apabila sambutan kepulangan Sokratis dalam kemenangan Liga Europa ke atas BATE Borisov disusuli satu lagi berita baik berkaitan tahap kecergasan Laurent Koscielny.

Pengendalinya Unai Emery berhatap pertahanan Perancis, Koscielny yang kembali selepas rehat panjang pada Disember akibat kecederaan tumit, sempat cergas untuk diturunkan berdepan Southampton di Stadium Emirates esok.

Emery terdesak untuk menyaksikan persembahan konsisten anak buahnya, yang mula tidak kelihatan sejak mereka bertandang ke Stadium St Mary untuk pertemuan pertama antara dua kelab itu musim ini pada pertengahan Disember lalu.

Manchester United, di tangga keempat Liga Perdana Inggeris, hanya satu mata di depan Arsenal dan akan berdepan pencabar kejuaraan musim ini, Liverpool esok, dengan Chelsea di tangga keenam terbabit dalam aksi final Piala Liga menentang Manchester City, membolehkan skuad kendalian Emery peluang melonjak ke kelompok empat teratas.

Namun untuk memastikan sasaran itu tercapai, mereka perlu mengelak daripada mengulangi persembahan yang membolehkan Southampton meraih kemenangan 3-2 serta menamatkan deretan 22 perlawanan tanpa kalah Arsenal – rekod yang melonjak nama Emery di kelab barunya itu.

Sejak kekalahan itu prestasi Arsenal mula tidak menentu, dengan kelemahan di bahagian pertahanan membantutkan usaha kelab London itu untuk memburu tempat dalam kelayakan Liga Juara-Juara.

 

Selepas itu Arsenal hanya menang tujuh daripada 14 perlawanan dalam semua pertandingan, dan dalam sembilan perlawanan terakhir setiap kemenangan disusuli dengan kekalahan.

“Pertama sekali memang kami mempunyai ramai pemain yang cedera,” kata Sokratis. “Kami perlu meningkatkan persembahan, bekerja lebih keras tetapi kami juga perlu ada tuah dan tidak dibelenggu kecederaan kerana ia sukar untuk pasukan.”

Kepulangan pemain Greece itu memberi pilihan lebih besar buat Emery tetapi kehadiran Koscielny juga penting, dengan prestasi tidak menentu Shkodran Mustafi. –  AFP

205 dibaca
Berita Harian X