Sabtu, 23 Februari 2019 | 12:30am
Ole Gunnar Solksjaer (kiri) kini jadi sandaran untuk mengecewakan Klopp dan anak buahnya.

Peluang United 'berbudi' pada jiran di Manchester

KOLUM APA KATA EPL

Kali terakhir Liverpool dan Manchester United membuat perhitungan dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) adalah di Anfield pada 17 Disember lalu. Keputusan seperti yang diketahui, berkesudahan menyebelahi The Reds, 3-1.

Pada aksi pertama musim 2018/209 ini, Xherdan Shaqiri dijulang sebagai wira apabila meledak dua gol berturut-turut ketika kedua-dua pasukan sedang terikat 1-1. Ketika kekalahan itu, United dibimbing oleh ‘The Special One’ Jose Mourinho manakala Liverpool oleh Jurgen Klopp.

Kedudukan kedua-dua pasukan ketika pertembungan berkenaan jelas berbeza dengan The Reds gah berada dalam kelompok tiga terbaik liga tatkala Red Devils bergelut dengan prestasi turun naik. Kemenangan anak buah Klopp itu menyaksikan penyokong mereka bagaikan dipuncak dunia.

Esok kedua-dua bakal pasukan bertemu lagi dan kali ini Old Trafford menjadi tuan rumah. Sudah pasti pertemuan ini sangat dinantikan termasuk di Malaysia. Biarpun tiada rekod rasmi, dikatakan penyokong Liverpool dan United adalah paling ramai di negara ini.

Apakah yang kita jangkakan dari pertembungan dua seteru EPL ini? Berbanding pertemuan pertama, kali ini keputusan bakal memberi implikasi besar kepada nasib kedua-dua pasukan. Buat Liverpool, menang akan melonjakkan mereka ke tangga teratas liga memintas Manchester City.

Begitu juga jika keputusan terikat. Ia tetap akan memberi kelebihan The Reds ke atas City untuk memintas penyandang juara itu. Ketika ini kedua-dua pasukan menghimpun jumlah mata sama iaitu 65, namun pasukan Klopp kelebihan satu aksi.

Namun jika tewas, Liverpool akan kekal di tangga kedua, namun kedudukan mereka akan terancam oleh Tottenham Hotspur yang beraksi 24 jam lebih awal jika dapat mengatasi Burnley. Spurs ketika ini ketinggalan lima mata.

Bagi United pula, andai menang, mereka akan terus kekal di tangga keempat liga. Namun jika seri atau tewas, ia mungkin dipintas oleh Arsenal yang bakal bertemu di Southampton pada malam esok juga. Satu lagi pencabar liga, Chesela tidak akan beraksi Brighton esok.

Sebaliknya, mereka akan membuat perhitungan dengan City pada aksi final Piala Liga di Stadium Wembley pada jam 12.20 tengah malam esok, kira-kira 45 minit selepas perlawanan United-Liverpool di Old Trafford berakhir.

Dengan Mourinho yang disingkirkan sebaik tewas kepada Liverpool tempohari, Ole Gunnar Solksjaer kini jadi sandaran untuk mengecewakan Klopp dan anak buahnya.

Dengan kejayaan mengatasi Chelsea 2-0 pada aksi Piala FA pertengahan minggu selepas tewas kecewa dijinakkan oleh PSG pada saingan Liga Juara-Juara, United harus berpeluang menebus dendam ke atas Liverpool disamping `berbudi’ kepada jiran mereka, City untuk kekal mendominasi liga musim ini.

Sementara itu, Tottenham dijangka berdepan saingan getir mengutip mata penuh apabila berkunjung ke Stadium Turf Moor bertemu tuan rumah, Burnley yang kini menduduki tangga ke-15 liga.

Arsenal pula yang masih segar mengenepikan kelab Belarus, BATE menerusi agregat, 3-1 dalam saingan Liga Europa saingan 32 terbaik, dijangka tiada masalah untuk mengatasi Southampton di Emirates untuk terus menekan United di tangga keempat liga. - Selamat menonton.

Ramalan minggu ini:

West Ham 2 Fulham 0

Cardiff 2 Watford 1

Burnley 1 Tottenham 1

Bournemouth 1 Wolves 1

Newcastle 2 Huddersfield 1

Leicester 3 Crystal Palace 1

Arsenal 3 Southampton 1

Man United 2 Liverpool 1

Penulis adalah Penolong Editor Sukan BH

Berita Harian X