Jumaat, 22 Februari 2019 | 11:34pm
ONG Kim Swee

Phnom Penh beri pengajaran - Kim Swee

PHNOM PENH, Kemboja: Pengendali negara, Datuk Ong Kim Swee percaya anak buahnya meraih pengajaran berguna sepanjang kempen Piala LG B-22 AFF kali ini walaupun gagal melangkah lebih jauh apabila tersekat di peringkat kumpulan.

Malaysia yang turun dengan misi wajib menang ke atas Myanmar dalam aksi terakhir Kumpulan B berjaya meraih tiga mata penuh selepas mencatat keputusan 1-0 di Stadium RSN, di sini, malam tadi.

Bagaimanapun, impian untuk mara ke separuh akhir dinafikan Indonesia yang turut meraih kemenangan ke atas Kemboja 2-0 sekali gus menamatkan kedudukan di belakang Kemboja yang terlebih dulu menggenggam tiket selaku juara kumpulan.

"Mengecewakan untuk terkeluar daripada peringkat seterusnya, tetapi kita tak boleh menyalahkan sesiapa.

"Perlawanan pertama di mana kita gagal mendapatkan mata mungkin itu merupakan pengajaran cukup bermakna. Selepas ini kita harus memikirkan tentang Kelayakan AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) dan kita harus bersiap sedia lebih awal.

"Saya percaya pemain telah membuktikan bukan sahaja daripada semangat juang yang cukup tinggi tetapi dengan keadaan padang yang baik, mereka boleh bermain lebih baik," katanya ketika ditemui sejurus tamat aksi di sini, malam tadi.

Dalam aksi itu, jaringan Hadi Fayyadh Abdul Razak pada minit ke-44 sudah cukup untuk memastikan kemenangan buat negara, malah jaringan itu juga adalah gol yang kedua buat dirinya sepanjang kejohanan itu.

Jelas Kim Swee lagi, beliau amat berpuas hati dengan prestasi pemain yang di bawa biarpun hadir ke Kemboja tanpa khidmat lima tonggak utama yang tidak dilepaskan kelab masing-masing.

"Saya tak ingin menyentuh tentang pemain tiada di sini, yang penting pemain-pemain yang berada di sini telah berjaya membuktikan mereka ingin bersama pasukan ini untuk ke pusingan kelayakan AFC nanti.

"Walaupun tiada pemain tertentu mereka tetap beraksi dengan baik dan ia memberi banyak pilihan kepada saya nanti," katanya.

1405 dibaca
Berita Harian X