Jumaat, 22 Februari 2019 | 12:58pm
GAMBAR fail, aksi pemain Pahang FA, Saddil Ramdani (kanan) ketika berdepanan pemain Melaka United, Safiq Rahim (kiri) pada saingan Liga Super di Stadium Hang Jebat, Krubong, Sabtu lalu. - Foto Rasul Azli Samad

Saddil mahu kecewakan Red Giants

 

KUANTAN: Pemain import Pahang, Saddil Ramdani percaya kekecewaan skuad itu gagal mencatat kemenangan hatrik bakal ditebus apabila melayan Selangor di Stadium Darul Makmur, Ahad ini.  

Bekas pemain Persela Lamongan, Indonesia itu berkata, keputusan seri 1-1 dengan Melaka United minggu lalu sudah dilupakan skuad Tok Gajah.  

"Justeru, kami perlu tampil dengan prestasi terbaik terutama untuk menceriakan peminat Tok Gajah dengan misi meraih tiga mata di laman sendiri.  

"Sudah pasti beraksi di laman sendiri perlu dimanfaatkan sebaiknya untuk kembali mengukuhkan kedudukan dalam saingan Liga Super musim ini.  

"Saya harap dapat mempamerkan prestasi lebih baik dan dapat melakukan jaringan seperti yang dilakukan pada perlawanan dengan Kuala Lumpur apabila menjaringkan satu gol," katanya.  

Mengulas ketiadaan perancang tengah, Nor Azam Azih yang digantung perlawanan, Saddil berkata, skuad itu kehilangan pemain yang bagus dan agresif.  

Katanya, Nor Azam memberi impak positif dalam membantu jentera serangan dan bergandingan baik di bahagian tengah.  

"Tapi, saya percaya pemain yang akan menggantikan Nor Azam mampu bermain dengan bagus untuk menafikan peluang Selangor Ahad ini.  

"Selain saya, kami juga memiliki Mohamadou Sumareh, Safuwan Baharudin, Matthew Davies dan Jose Eduardo untuk memberi tekanan kepada Red Giants.  

"Saya harap kami dapat beraksi dengan baik seperti dipersembahkan ketika menang ke atas Kuala Lumpur dan Terengganu FC (TFC)," katanya.

877 dibaca
Berita Harian X