Rabu, 20 Februari 2019 | 11:18pm
PEMAIN tengah Pahang, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria atau Kecik. - Foto Nazirul Roselan

Kecik sedia galas tugas Nor Azam

KUANTAN: Pemain tengah Pahang, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria atau Kecik tiada masalah untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan Nor Azam Azih pada aksi Liga Super bertemu Selangor, Ahad ini.

Pemain kelahiran Tumpat, Kelantan itu berkata, ketiadaan Nor Azam dalam skuad Tok Gajah begitu dirasai kerana menjadi nadi pasukan pada tiga perlawanan lalu tetapi prestasi pasukan perlu dikekalkan.

"Oleh itu, ketiadaan Nor Azam diharap tidak menjejaskan perancangan pasukan untuk mengutip tiga mata di laman sendiri apabila berdepan Selangor nanti.

"Sebagai pemain di posisi tengah, saya sentiasa bersedia seperti yang dilakukan pada pertemuan dengan Kuala Lumpur dan Terengganu FC (TFC) lalu apabila beraksi sebagai pemain gantian dengan memberikan komitmen tinggi.

"Walaupun tidak beraksi ketika kami seri 1-1 dengan Melaka United Sabtu lalu, saya akan mempamer prestasi terbaik untuk membantu Pahang mencatat kemenangan ke atas Red Giants Ahad ini," kata pemain berumur 28 tahun itu.

Pada perlawanan Pahang dengan Melaka United Sabtu lalu, pemain tengah skuad itu, Nor Azam dilayangkan kad merah selepas menerima dua kad kuning.

Ketiadaan perancang tengah itu memberi kesan terhadap prestasi pasukan kerana Nor Azam menjadi pilihan utama jurulatih, Dollah Salleh dalam tiga perlawanan lalu ketika menang 3-1 ke atas Kuala Lumpur dan TFC (3-0) sebelum seri 1-1 dengan Melaka United.

Namun, skuad Tok Gajah masih memiliki pemain tengah mantap iaitu Zuhair Aizat Nazri dan Faisal Halim untuk bergandingan dengan Mohamadou Sumareh, Safuwan Baharudin dan serta pemain import Indonesia, Saddil Ramdani.

931 dibaca
Berita Harian X