Selasa, 19 Februari 2019 | 12:51pm

Atletico, Juve ibarat final

MADRID: Massimiliano Allegri memberitahu Juventus supaya tidak gentar dengan Atletico Madrid tetapi bagi salah satu daripada dua pasukan ini, perkara yang paling mereka takuti dalam saingan Liga Juara-Juara musim ini bakal menjadi kenyataan.

Tersingkir daripada kelompok 16 terakhir memang sukar diterima buat dua kelab yang menjadi pasukan pilihan ketika undian peringkat kalah mati dilakukan pada Disember.

“Mereka yang mempunyai cita-cita tidak akan gentar,” kata Allegri selepas pasukannya diundi bertemu Atletico, dengan perlawanan pertama akan berlangsung di Wanda Metropolitano esok (awal pagi Khamis).

“Kami perlu berhati-hati dengan Atletico. Kami perlu mencari saat yang sesuai untuk menjaringkan gol.

“Penting untuk kami mendapatkan gol di sana, jika tidak pasti sukar untuk layak.”

Juventus dan Atletico secara keseluruhan mara ke 12 final Kejuaraan Eropah, dengan perlawanan musim lalu di Kiev buat kali pertama dalam tempoh lima tahun tidak ada wakil daripada salah satu pasukan ini.

Atletico bagaimanapun menjuarai Liga Europa, membuktikan mereka terlalu kuat untuk kejohanan kedua tertinggi Eropah itu, manakala Juventus disingkirkan oleh juara tahun lalu, Real Madrid hasil jaringan penalti kontroversi Cristiano Ronaldo pada minit ke-98.

Sementara itu pengendali Atletico Diego Simeone menganggap perebutan tiket ke suku akhir ini ibarat final.

“Ia ibarat final, kami tidak boleh tersalah langkah,” kata pengendali Atletico Diego Simeone. – AFP

Berita Harian X