Ahad, 17 Februari 2019 | 5:46pm
Pemain pertahanan B-23 tahun negara, Irfan Zakaria ketika ketika hadir pada Adidas Creators Only Lounge di Football Republic, Sunway Pyramid. - Foto Owee Ah Chun

Balas kepercayaan jurulatih

 

KUALA LUMPUR: Pemain skuad bawah 22 tahun negara (B-22) seharusnya memanfaatkan peluang sebaiknya selepas diberi kepercayaan menggalas tanggungjawab pada Kejuaraan B-22 AFF 2019.

Pemain pertahanan B-23 tahun negara, Irfan Zakaria mengharapkan ketiadaan beberapa pemain tonggak pada panggilan kali ini dapat digunakan sebagai medan membuktikan betapa mereka juga layak untuk mewakili negara.

“Nasihat saya kepada pemain, bermainlah dengan bersungguh sungguh dan ikhlas kerana peluang sebegini tidak datang banyak kali.

“Balaslah kepercayaan jurulatih yang memanggil mereka dan berikan segalanya untuk negara,” katanya.

Sebagai rekod, Malaysia yang diundi dalam Kumpulan B akan memulakan kempen berdepan tuan rumah, Kemboja petang esok diikuti Indonesia (20 Februari) dan Myanmar (22 Februari).

Mengulas lanjut mengenai peluang pasukan itu pada kejohanan terbabit, pertahanan Kuala Lumpur itu optimis kehilangan beberapa tonggak tidak menjejaskan misi mereka untuk meraih sesuatu yang positif pada kejohanan berlangsung di Kemboja itu.

“Sudah tentu Datuk Ong Kim Swee ada perancangannya tersendiri untuk mengharungi kejohanan dengan kekurangan yang ada namun pemain juga perlu memberikan yang terbaik,” katanya.

Selepas ini, anak buah Kim Swee akan berdepan satu lagi tugasan besar iaitu pusingan Kelayakan Kejuaraan B-23 Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2020 di sini.

Diundi dalam Kumpulan J, Malaysia akan bertemu China, Laos dan juga Filipina.

423 dibaca
Berita Harian X