Ahad, 17 Februari 2019 | 8:29am
PEMAIN Barcelona, Lionel Messi melakukan percubaan ke gawang Real Valladolid. - Foto Reuters

Messi julang Barca, Griezmann pintas Torres

MADRID: Lionel Messi menyempurnakan satu daripada dua penalti dalam kemenangan 1-0 pendahulu La Liga, Barcelona ke atas Real Valladolid, manakala Antoine Griezmann mengatasi Fernando Torres dengan golnya yang ke-130 untuk Atletico Madrid.

Kecergasan Messi sekali lagi menjadi tumpuan selepas pemain itu bergelut dengan kecederaan paha sejak beberapa minggu lalu, tetapi dia melengkapkan aksi 90 minit penuh di Camp Nou dan mencecah angka 30 gol untuk Barcelona buat 11 musim berturut-turut.

Messi dengan tenang menyempurnakan penalti sebelum rehat, mengatasi Jordi Masip selepas Gerard Pique dikasari oleh pemain tengah Valladolid Michel.

Masip bagaimanapun memastikan dia tidak tertewas dua kali apabila berjaya membaca sepakan penalti kedua Messi, susulan kekasaran ke atas Philippe Coutinho.

Barca kini mendahului Atletico dengan jurang tujuh mata di puncak La Liga dan boleh menarik nafas lega menjelang kunjungan ke Lyon untuk aksi 16 terakhir Liga Juara-Juara.

“Kami tidak bermain dengan baik, ia bukan perlawanan yang bagus,” kata Pique yang melengkapkan penampilan ke-300 La Liga.

“Satu-satunya perkara yang bagus ialah kemenangan. Kembali ke landasan tiga mata amat penting selepas dua kali seri dalam liga. Tetapi kami perlu meningkatkan persembahan.

“Kami perlu lebih baik Selasa ini, jika tidak pasti akan mengharungi saat yang sukar.”

Griezmann meledak gol di babak kedua untuk kemenangan 1-0 Atletico ke atas Rayo Vallecano yang mampu menjadi tonik buat anak buah Diego Simeone menjelang pertembungan dengan Juventus yang diperkuat Cristiano Ronaldo minggu depan.

Penyerang Perancis itu mengatasi Torres – kini bermain untuk Sagan Tosu di Jepun – sebagai penjaring kelima terbanyak dalam senarai sepanjang zaman Atletico.

Mendiang Luis Aragone, yang membimbing Sepanyol menjuaran Kejuaraan Eropah pada tahun 2008, adalah penjaring terbanyak Atletico dengan 172 gol. – AFP

 

Berita Harian X