Sabtu, 16 Februari 2019 | 11:50am
AHHMAD Amizal Shaifit Ahmad Rafie

PFA sudah hantar dokumen kewangan - Amizal

PASIR GUDANG: Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) menafikan mereka antara dua pasukan yang 'ghaib' dan gagal menghantar dokumen kewangan kepada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) pada tarikh akhir, semalam.

Presiden PFA, Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie, berkata perkara itu sudah disahkan sendiri MFL, semalam menerusi satu kenyataan. 

"Tadi (semalam) MFL dah sahkan kita (PFA) satu daripada daripada lima pasukan yang sudah menghantar dokumen kewangan," jawabnya ringkas.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas perlawanan Liga Perdana antara Johor Darul Ta'zim II (JDT II) menentang Perlis di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), malam tadi.

Mengulas mengenai kemelut kewangan dan tunggakan gaji pemain, Amizal berkata PFA memerlukan sedikit lagi masa untuk menyelesaikan isu berkenaan.

"Alhamdulillah kita (PFA) ada penaja yang bersetuju untuk bantu kita dan kita akan buat yang terbaik.

"Dalam masa terdekat (selesaikan isu tunggakan gaji pemain) dan kita perlukan sedikit lagi masa," katanya.

Sementara itu, Kapten pasukan Perlis, Safee Sali ketika ditemui berkata, beliau hanya menyerahkan kepada pihak pengurusan PFA berhubung isu tunggakan gaji dan dakwaan mengatakan beberapa pemain Singa Utara yang akan 'angkat kaki' daripada pasukan itu.

"Perkara itu saya serahkan pada badan pengurusan, saya tidak mahu memberikan sebarang komen.

"Apa yang penting kami sudah menjalankan tugas sebagai pemain dan nantikan sebarang perkembangan daripada pihak pengurusan," katanya.

Semalam genap tempoh 60 hari yang diberikan MFL kepada PFA untuk melunaskan tunggakan gaji lama pemain mereka sebelum tindakan memotong geran tahunan terpaksa diambil pentadbir Liga Malaysia (Liga M).

Namun, masalah tunggakan gaji baharu yang melanda pemain musim ini dilihat meletakkan Perlis dalam 'bahaya' kerana isu itu kemungkinan besar boleh memaksa MFL membuat keputusan lain yang lebih buruk buat Singa Utara.

419 dibaca
Berita Harian X