Jumaat, 15 Februari 2019 | 11:28pm
PENYERANG Terengganu FC, Tchetche Hermann Brice Kipre (tengah) diasak oleh dua pemain pertahanan JDT pada saingan Liga Super Malaysia 2019 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, sebentar tadi. - NSTP/Rozainah Zakaria

TFC, JDT kongsi mata

KUALA TERENGGANU: Terengganu FC (TFC) dan Johor Darul Ta'zim (JDT) berkongsi satu mata selepas seri 2-2 pada aksi ketiga Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, sebentar tadi.

TFC bermula garang dengan asakan pertama seawal minit kedua menerusi ayam tambatan, Kipre Tchetche yang dijatuhkan pertahanan lawan dalam kotak penalti tapi tidak dilayan pengadil Muhammad Nazmi Nasiruddin.

Seminit kemudian pelawat melepaskan peluang keemasan untuk mendahului perlawanan apabila sepakan leret Syafiq Ahmad hanya sedikit melepasi pintu gol skuad Penyu ketika penjaga gol, Suffian Abdul Rahman sudah tertewas.

Tiga minit berselang stadium keramat itu bergema dengan sorakan lebih 10,000 peminat setia tuan rumah apabila Khairul Izuan Rosli meledak jaringan pertama TFC berpunca hantaran Lee Tuck untuk mendahului 1-0.

Selepas jaringan itu anak buah Irfan Bakti Abu Salim kian bernafsu dan nyaris menambah jaringan sekali lagi menerusi rembatan leret Khairul Izuan pada minit ke-10 tapi sedikit melepasi pintu gol skuad Harimau Selatan.

Bagaikan harimau luka, JDT yang juga juara bertahan Liga Super bangkit mengasak kubu tuan rumah dan pada minit ke-31, mereka dihadiahkan sepakan penalti selepas Diogo Santo dijatuhkan Thierry Chantha Bin, namun sepakan yang diambil sendiri pemain dari Brazil itu tersasar.

Bersambung babak kedua pertahanan pelawat, gol yang dinantikan pelawat akhirnya tiba selepas sekali lagi dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-62 yang disudahkan pemain kelahiran Terengganu, Safawi Rasid.

Enam minit berselang, Santo menebus 'dosanya' apabila meledak jaringan kedua pasukannya selepas mudah menolak masuk gol berpunca sepakan sudut pemain gantian, Aaron Esclapez untuk mendahului 2-1.

Begitupun, penantian tuan rumah untuk menyamakan kedudukan berhasil pada minit ke-89 apabila Kamal Azizi Zabri bijak memanfaatkan peluang hasil kelam kabut depan gol pelawat untuk menjadikan kedudukan 2-2.

Sebelum perlawanan bermula kedua-dua pasukan serta peminat menghadiahkan Surah Al-Fatihah kepada wira Darul Iman, arwah Abdul Bari Asyraf Mohd yang lemas ketika menyelamatkan lima mangsa yang terjunam ke dalam Sungai Terengganu baru-baru ini.

1174 dibaca
Berita Harian X