Jumaat, 15 Februari 2019 | 10:10pm
KETUA jurulatih Pahang, Dollah Salleh (tengah) memberi kata kata semangat kepada pemain. - Foto Owee Ah Chun

Tok Gajah perkuat kubu sekat MU

KUANTAN: Pengendali Pahang, Dollah Salleh mahu barisan pertahanan skuad kendaliannya terus kebal bagi menahan asakan jentera serangan Melaka United (MU) pada aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput, malam esok.

Katanya, gandingan mantap Matthew Davies yang juga kapten pasukan, Muslim Ahmad, Herold Goulon dan Mohd Faisal Rosli perlu diteruskan bagi mengawal asakan lawan seperti dalam dua perlawanan terdahulu.

"Saya bangga persembahan empat pemain ini ketika Pahang mencatat kemenangan ke atas Terengganu FC (TFC) pada 9 Februari lalu.

"Prestasi ini diharap menjadi apabila bertemu MU yang pasti mahu mengutip tiga mata di tempat sendiri. Namun, skuad Tok Gajah juga mempunyai misi sama iaitu mengekalkan rentak kemenangan dalam dua perlawanan sebelum ini," katanya.

Bagi merealisasikan misi meraih kemenangan, Dollah yang juga bekas jurulatih kebangsaan mahu jentera serangannya menambah lagi ketajaman mereka.

Katanya, sudah pasti sandaran utama diberikan kepada Dickson Nwakaeme yang sudah menjaringkan tiga gol dalam dua perlawanan bersama gandingan Jose Eduardo.  

"Posisi tengah juga memainkan peranan membantu dan meletakkan pasukan pada kedudukan terbaik," katanya.

Musim ini, jentera tengah Pahang diperkuatkan oleh pemain naturalisasi pertama negara, Mohamadou Sumareh, Safuwan Baharuddin, Nor Azam Azih dan Saddil Ramdani.

313 dibaca
Berita Harian X