Jumaat, 15 Februari 2019 | 1:40am
PEMAIN pertahanan Liverpool, Dejan Lovren (kiri) cedera ketika menentang Wolverhampton di Stadium Molineux pada 7 Januari lalu. - Foto Reuters

Liverpool layan Bayern tanpa Lovren

LONDON: Pengurus Liverpool, Juergen Klopp mengakui berdepan dilema selepas pertahanan tengahnya, Dejan Lovren berkemungkinan tidak dapat disenaraikan bagi aksi Liga Juara-Juara menentang Bayern Munich di Anfield.

Lovren masih menjalani pemulihan susulan masalah hamstring yang diperolehnya ketika menentang Wolverhampton Wanderers, bulan lalu dan pertahanan Croatia itu tidak menyertai keseluruhan pasukan menjalani latihan di Marbella, Sepanyol, minggu ini.

“Saya tidak mahu menolak sepenuhnya tetapi saya tidak boleh membuat rancangan tanpanya,” kata Klopp. “Dia tidak berada di sini atas alasan yang baik, kerana dia tidak boleh mengambil bahagian dalam latihan.

“Kami akan pulang pada Jumaat (hari ini). Jadi bermula Sabtu, Dejan akan kembali di Melwood dan kita lihat apa yang akan berlaku.”

Pilihan utama Klopp bagi posisi berkenaan, Joe Gomez masih tidak boleh disenarai selepas mengalami pembedahan akibat patah kaki dengan tiada masa tepat untuk kepulangannya dapat diberikan.

Selepas kehilangan Virgil van Dijk susulan penggantungan bagi aksi pertama 16 terbaik itu, Klopp merancang untuk menyenaraikan pemain tengah Brazil, Fabinho bergandingan bersama Joel Matip mengemudi jentera pertahanan Reds.

“Sudah tentu kami perlu melakukan persediaan dengan cara yang berbeza. Jika Dejan menunjukkan tanda pada Isnin ini, saya merasa cukup gembira, dan kemudian kami perlu berfikir perkara yang baru,” kata Klopp.

“Tetapi ketika ini kami bersedia untuk menghadapi perlawanan dan dalam persiapan ini Dejan tidak terbabit. Jadi kami perlu mencari jalan penyelesaian lain.” - Reuters

Berita Harian X