Khamis, 14 Februari 2019 | 9:45pm
Jose Mourinho.

Kos pecat Mourinho RM102.3 juta

LONDON: Manchester United mendedahkan pemecatan Jose Mourinho memaksa kelab itu mengeluarkan belanja hampir £20 juta (RM104.4 juta) dengan Naib Pengerusi Eksekutif, Ed Woodward memuji impak dibawa Ole Gunnar Solskjaer.

Sejumlah £19.6 juta (RM102.3 juta) yang disenaraikan di bawah ‘perkara luar biasa’ dalam keputusan suku kedua kelab, termasuk pembayaran pampasan terhadap staf Mourinho yang menyertainya selepas dipecat pada Disember lalu.

Begitupun nasib kelab Liga Perdana Inggeris itu berubah sejak Solskjaer mengambil alih tugas selaku pengurus sementara.

United kini menghuni tangga keempat liga dengan kelab itu ketinggalan 11 mata daripada tiket ke saingan Liga Juara-Juara itu ketika ditinggalkan Mourinho.

“Pelantikan Ole dan Mike (Phelan) sebagai pengurus sementara dan pembantu pengurus... memberikan impak positif terhadap kelab,” kata Woodward.

“Kami gembira dengan peningkatan terhadap persembahan pasukan sejak Disember dan kami berusaha keras untuk mendapatkan penamat yang baik bagi musim 2018/19.”

Menerusi laporan, kelab itu mengumumkan pendapatan £208.6 juta (RM1.09 bilion) bagi suku pertama tahun ini, yang diubah kepada pendapatan sebelum sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) sebanyak £104.3 juta (RM545 juta) dan keuntungan operasi £44 juta (RM229.9 juta).

Real Madrid bulan lalu mengatasi United sebagai kelab terkaya dunia Liga Duit Bolasepak Deloitte selepas dua tahun diatasi kelab Inggeris berkenaan. - AFP

Berita Harian X