Khamis, 14 Februari 2019 | 11:01am
PENGURUS Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino. - Foto Reuters

Saya akan mandi rai gol Son - Pochettino

LONDON: Mauricio Pochettino menghamburkan pujian kepada 'anak emasnya', Son Heung-min selepas Tottenham Hotspur menang dalam semua 13 perlawanan yang menyaksikan pemain Korea Selatan itu menjaringkan gol musim ini.

Selepas menyaksikan skuad kendaliannya menewaskan Borussia Dortmund 3-0 dalam aksi pertama pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara, awal pagi tadi, Pochettino secara berseloroh berkata dia akan terus ke bilik persalinan untuk mandi sekiranya Heung-min menjaringkan gol pada perlawanan seterusnya.

Bintang Korea itu membuka tirai jaringan - gol keempat dalam empat perlawanan terakhirnya sejak kembali daripada tugasan Piala Asia - sebelum Jan Vertonghen dan Fernando Llorente melengkapkan kemenangan pasukan berkenaan.

"Selepas ini jika Son menjaringkan gol, saya akan terus ke bilik persalinan, mandi dan menunggu perlawanan tamat," seloroh Pochettino.

"Dia mempamerkan prestasi yang menakjubkan sekali lagi.

"Dia adalah seorang pemain yang memberikan pasukan banyak perkara positif. Dia senyum dan mencipta tenaga dalam setiap perlawanan.

"Kami gembira dengan prestasi, dia membuktikan betapa bagus dirinya."

Spurs yang beraksi tanpa kelibat Harry Kane dan Dele Alli akan bertemu Dortmund di tempat lawan bagi aksi timbal balas kedua pada 5 Mac depan. - Agensi

856 dibaca
Berita Harian X